Anwar, Thaksin bincang isu kritikal serantau
DATUK Seri Anwar Ibrahim ini bertemu dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Dr. Thaksin Shinawatra yang telah dilantik sebagai penasihat kepada Pengerusi ASEAN.
Perdana Menteri berkata, pada pertemuan di Langkawi itu mereka berbincang mengenai isu kritikal serantau termasuk usaha melonjakkan ekonomi.
“Saya telah bertemu sahabat baik yang juga mantan Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra semalam dan mengadakan perbincangan panjang lebar terkait beberapa perkara penting, termasuk peranan beliau selaku penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN.
“Perbincangan kami seputar beberapa isu kritikal serantau, merangkumi usaha melonjak ekonomi, perkembangan teknologi baharu, merintis usaha damai di Selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar.
“Kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimiliki di rantau ini, membolehkan beliau memainkan peranan dan membuka peluang-peluang penting buat Malaysia dan ASEAN bagi berdepan cabaran-cabaran ini dengan penuh yakin dan berkesan.
“Saya dan Thaksin turut bertukar pandangan terkait usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Thailand dan selaras visi dan persefahaman seperti mana yang saya kongsikan bersama-sama PM Paetongtarn Shinawatra.
“Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu, bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini. Insya-Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya.- SM