Anwar makan tengah hari di gerai Kak Yan, Langkawi
PERDANA Menteri yang kini berada di Langkawi meluangkan masa untuk makan tengah hari di gerai Kak Yan Nasi Campur.
Pada kesempatan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bertanya khabar dan mendengar sendiri pandangan dan masalah daripada penduduk setempat
“Hari ini saya berkunjung ke gerai Kak Yan Nasi Campur di Langkawi untuk makan tengah hari sebelum menunaikan solat Jumaat. Sempat bertanya khabar dan mendengar sendiri pandangan serta permasalahan daripada penduduk setempat.
“Alhamdulillah, turut ketemu penjawat awam di sini yang menzahirkan penghargaan atas kenaikan gaji baru-baru ini.
“Saya titipkan pesanan untuk kita terus tingkatkan prestasi dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat. Saya kemudian langsung ke pekan Kuah untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Hana.
“Menghayati khutbah minggu yang berkisar tentang Pendidikan Islam Nadi Ummah Sejahtera. Umat diingatkan tentang Islam sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan pencarian ilmu pengetahuan dan pendidikan.
“Tiada jalan yang lain menuju kepada ilmu melainkan dengan Iqra’ iaitu membaca dan menekuni ilmu dengan Aqli dan Naqli. Alhamdulillah, Malaysia menekankan peri penting penghayatan pendidikan Islam bermula dari pendidikan awal anak-anak sehingga tamat pendidikan menengah.
“Pengajian ilmu agama juga telah digabung jalin bersama pengajian sains dan TVET. Usai solat, saya bertemu dan bersalaman dengan penduduk dan anak-anak pelajar, di mana saya bertanyakan keadaan kemudahan asas serta infrastruktur di sekolah seperti tandas dan bilik darjah, selain keselesaan guru dan murid.
“Segala pandangan, aduan serta permasalahan yang dibangkitkan penduduk Langkawi akan saya teliti secara terperinci, Insya-Allah,’ katanya dalam hantara di X. – SM