Nasional

Anwar bertemu pemimpin industri, penggiat pasaran modal di New York

Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan usaha giat kerajaan untuk menarik pelabur global dengan mengadakan pertemuan dengan pemimpin industri dan penggiat pasaran global pada hari keduanya di New York.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menyertai perbincangan meja bulat dengan syarikat Fortune 500 di Harvard Club, New York pada pagi ini.

Memetik laporan BERNAMA program itu dianjurkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Perdana Menteri kemudiannya akan berucap pada acara Invest Malaysia New York yang dianjurkan Bursa Malaysia. Dalam kedua-dua program berprofil tinggi ini, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dengan usahawan dan pelabur baharu yang berpotensi dari Amerika Syarikat.

Bagi separuh pertama tahun ini, Malaysia menarik pelaburan diluluskan sebanyak RM132.6 bilion dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama, membabitkan 2,651 projek yang dijangka mewujudkan 51,853 pekerjaan di negara ini.

Pada petang ini, Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri sesi perbincangan dengan Ahli Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR), sebuah badan pemikir dan penerbit bebas bukan partisan, yang menggalakkan pemahaman dari segi hubungan antarabangsa dan dasar luar negara.

Anwar yang kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 akan turut bertemu Perdana Menteri Thailand yang baru dilantik, Srettha Thavisin.

Pada hari sama, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia’ Al Sudani. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button