Nasionalpilihan

Anugerah Pendidikan ATM bukti MINDEF prihatin warga pertahanan

MENTERI PERTAHANAN, Datuk Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan telah menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tahun 2023 bertempat di Dewan Perdana FELDA, hari ini.

Majlis AKP ATM ini dilaksanakan setiap tahun sejak dari tahun 1991 lagi. Sejak dari itu, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) atau sebelum ini dikenali Yayasan Warisan Perajurit telah menyalurkan pemberian dan dermasiswa kepada lebih 14,000 ribu anak-anak warga ATM dengan peruntukan sebanyak RM12 juta.

AKP ATM ini merupakan antara sumbangan yang ditaja keseluruhannya oleh Yayasan LTAT sebagai tanda penghargaan kepada warga ATM dan Veteran ATM serta ahli keluarga disamping menjadi pemangkin semangat kepada warga ATM untuk meningkatkan pencapaian akademik anak-anak. Peranan Yayasan LTAT yang sentiasa menyokong dan mencari inisiatif baharu seperti Program Sentuhan Elit SPM, Jejak Bakat Anak Tentera dan LAKSAMANA telah banyak menyumbang kepada kejayaan anak-anak tentera dalam pendidikan.

Seramai 340 orang pelajar telah menerima AKP bagi kategori Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bagi kategori IPTA, seramai 65 pelajar menerima RM1,000 yang akan dikreditkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime dan seramai 275 pelajar dari kategori SPM pula menerima RM1,500 yang juga akan dikreditkan melalui akaun SSPN Prime. Pengiktirafan yang diberikan ini sedikit sebanyak dilihat mampu menjadi suri teladan serta inspirasi kepada anak-anak warga ATM yang lain.

Dalam majlis ini, YB Menteri Pertahanan telah turut menyampaikan Anugerah Ikon Menteri Pertahanan kepada adik Nik Noriqmal Nassim bin Nik Azlan dan adik Ameera Hannan binti Muhammad Habib sebagai anugerah khas di atas pencapaian tertinggi dalam pelbagai bidang seperti akademik, kokurikulum dan kepimpinan.

Kementerian Pertahanan juga telah menerima sumbangan mock cheque bagi Program Sentuhan Elit SPM 2023 sebanyak RM250 ribu daripada ILTIZAM by Ekuinas sebagai tanda sokongan kepada pelajar SPM yang bersekolah di Sekolah Menengah Dalam Kem bagi menghadapi peperiksaan SPM kelak.

Pelbagai inisiatif yang diberikan ini adalah sebagai tanda sokongan kepada anak-anak warga ATM bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang kerjaya tidak kira yang cemerlang atau yang kurang cemerlang.

Menteri Pertahanan juga mengingatkan supaya para pegawai dan anggota ATM untuk terus prihatin dan mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham bin Ishak, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Datuk Seri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Timbalan Panglima Tentera Laut mewakili Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy bin Ithnain, Pengerusi LTAT merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan LTAT, YM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (Bersara), Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar bin Hj Sudin, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Tuan Syed Yasir Arafat bin Syed Abd Kadir, Pengarah Pendidikan ATM, Kol Mohd Sharif bin Ishak, pemegang-pemegang taruh, ibu bapa serta penerima-penerima anugerah. – SM

Artikel berkaitan > MINDEF tingkat keupayaan aset, taraf keselesaan anggota pada Belanjawan 2024

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button