Nasional

Anuar Zain bersyukur karier menyanyi beri pendedahan

KITA TIDAK rancang dan tidak tahu apa akan berlaku pada masa hadapan, kata penyanyi terkenal Anuar Zain mengenai Misi Kemanusiaan yang bakal disertai April nanti.

Jelas pelantun suara “Sedetik Lebih” itu, kezaliman yang dilakukan terhadap bumi Syria membuatkannya tergerak hati untuk melakukan sesuatu.

“Kita selalu terfikir macam mana ingin menolong mereka, hendak pergi berperang kita tidak mempunyai kepakaran, jadi saya cakap dengan Syria Care saya boleh lakukan sesuatu dengan mengumpul dana bantuan kepada mereka” katanya ketika ditemui selepas sidang media, petang, semalam.

Sidang Media Misi Kemanusian Syria Care

Tambahnya, melihat keadaan saudara islam yang diperlakukan begitu membuatnya emosi dan marah.

“Saya selalu berasa emosional, kadang-kadang kita tahu, perang itu memberi manfaat kepada pihak tertentu dan apa yang sedihnya, saudara mara islam kita yang menjadi mangsa.

“Perang itu tidak membawa kebaikan, perang itu adalah satu perkara yang negatif dan menyusahkan ramai pihak, hanya segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab ini ingin mendapatkan manfaat dan menjadikan beribu-ribu malah berjuta manusia dalam keadaan tidak stabil” ujarnya.

Anuar juga berharap agar semua rakyat Malaysia turut sama membantu menyumbangkan sedikit rezeki yang ada dalam usaha beliau mengumpulkan dana untuk misi kemanusiaan tersebut.

“Semua ini berlaku dengan izin Allah, saya harap dan mohon agar Allah sentiasa menjaga kesihatan kami, jaga emosi kami, jagakan keselamatan kami dalam melaksanakan bantuan yang saya kira terdaya yang kami mampu” katanya bila ditanya mengenai kenapa berani mengambil risiko untuk menjalankan misi tersebut.

Anuar juga berkata bahawa sekarang adalah masa untuk beliau fokus kepada misi yang bakal dilaksana dan tidak berfikir mengenai perkara yang kurang penting.

“Saya tidak fikir bagaimana keadaan kita disana, adakah menetap di hotel, di rumah orang atau duduk di khemah-khemah, itu semua tidak penting, yang penting bagaimana usaha kita untuk mengumpulkan dana bagi membantu saudara kita” jelasnya.

Tambahan, dengan bantuan yang disalurkan orang ramai kepada misi berkenaan menjadikan beliau bersemangat untuk memberi yang terbaik.

“Dengan asbabnya anda itu, saudara mara kita yang berada di Syria atau di mana sahaja yang memerlukan bantuan itu akan sedikit sebanyak terbela kehidupan mereka, ada rezeki makan untuk bulan puasa, rezeki untuk pakai pakaian sejuk” jelasnya yang menceritakan kesusahan yang dihadapi pelarian Syria.

Justeru beliau sempat menyeru orang ramai dan badan korporat yang lain turut sama membantu dalam usaha mereka mengumpulkan lebih dana bagi dihantar ke bumi Syria. – SM

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button