Jenayah

Ancaman bom, polis terima 19 laporan


Menurut laporan Bernama semalam, Polis menerima 19 laporan hari ini mengenai ancaman bom palsu yang dihantar melalui e-mel ke beberapa buah sekolah swasta dan kerajaan di seluruh negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Polis memeriksa di sekolah jika ada bom

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada pukul 6.20 petang ini beliau berkata tujuh laporan dibuat di Selangor, Kuala Lumpur (5), Johor (3), Pulau Pinang (2) dan masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan.

Katanya ancaman berkenaan dihantar melalui dua akaun e-mel menggunakan nama ‘taktstorer’ yang bermaksud ‘pengganggu ketenteraman’ dalam bahasa Jerman dari penyedia perkhidmatan e-mel beeble.com.

“Sebaik dimaklumkan mengenai ancaman berkenaan, polis dengan kerjasama sekolah terlibat mengosongkan premis, pengungsian (evacuation) pelajar ke lokasi selamat turut dijalankan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebelum dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Razarudin berkata tindakan pembersihan keselamatan (security flushing) bom telah dijalankan dan mendapati ancaman berkenaan adalah palsu, tiada bukti kewujudan risiko bom di mana-mana sekolah seperti didakwa.

“Siasatan turut mendapati alamat e-mel berkenaan baru dicipta dan kandungan asal e-mail itu adalah dalam Bahasa Inggeris yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu menggunakan aplikasi penterjemah,” katanya.

Beliau berkata kandungan e-mel yang sama dikesan pernah dihantar ke 70 sekolah di Jamaica pada 12 Nov lepas yang dilakukan oleh seorang individu bermasalah mental dan pihak polis sedang menyiasat sama ada ia mempunyai sebarang kaitan dengan kejadian hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, polis memandang serius ancaman bom dan menyiasat sebarang ancaman tanpa gagal,” katanya.

 

 

(Visited 29 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button