Rencah Hidup

Anak perempuan 7 tahun, ayah derita penyakit jantung berlubang

Memerlukan sumbangan orang ramai bagi meringankan bebanan keluarga

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sebagai warganegara yang dermawan, walaupun dalam keadaan hidup hari ini yang penuh mencabar, bantuan yang dihulurkan kepada keluarga Mohd. Faizul Redzuan Abd. Malik ini mungkin sedikit sebanyak boleh meredakan bebanan kewangan yang dihadapi.

Kisah Keluarga Mohd. Faizul Redzuan ini dipaparkan oleh BERNAMA dan SUARA MERDEKA terpanggil untuk berkongsi cerita untuk para pembaca budiman.

Menurut wawancara bersama Mohd. Faizul Redzuan, nasib anak perempuannya yang baharu berusia tujuh tahun, sama sahaja dengannya. Kedua-dua anak dan ayah ini penghidap penyakit jantung berlubang.

Mohd Faizul Redzuan yang berusia 35 tahun berkata, sejak kanak-kanak lagi, dia menghidap penyakit jantung berlubang. Penyakit itu kini kembali menyerang kesihatannya dan disahkan oleh doktor yang merawat.

Menurut doktor kepada Mohd. Faizul Redzuan, injap jantungnya mula terbuka menyebabkan dia kerap demam dan sukar untuk membuat kerja-kerja berat.

Cerita Mohd. Faizul Redzuan lagi, anak keduanya daripada lima orang adik beradik, Rabiatul Syakilyn juga disahkan menghadapi masalah yang sama dengannya.

“Sejak dia dikalhirkan, dia bermasalah dengan jantung  dan perlu mendapatkan rawatan hampir setiap bulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru,” ujar Mohd. Faizul Redzuan.

Sementara itu, isterinya, Azlin Ahmad berkata, dalam keadaan kesihatan suaminya itu, mereka bukan sahaja terpaksa mengikat perut bagi menampung kos rawatan serta perbelanjaan malahan ada kalanya terpaksa menebalkan muka meminta sumbangan daripada rakan-rakan serta penduduk sekitar kediaman di Kampung Parit Othman, Parit Sulong, untuk menampung perbelanjaan yang tidak mencukupi terutamanya kos rawatan dan ulang-alik ke hospital.

Sebagai seorang ibu, beliau sedih disebabkan oleh bebanan masalah kewangan dan juga keadaan kesihatan suaminya, rawatan untuk anaknya  yang mesra dengan panggilan Rubi, tidak dapat diteruskan.

“Apabila keputusan duit, mana lagi nak korek. Jadi, rawatan untuk anak kini tidak lagi dapat diteruskan.Ditambah pula dengan keadaan kesihatan suami yang dia sendiri tidak mampu untuk melakukan kerja-kerja berat, apa lagi usaha yang boleh dilakukan.

“Semenjak tidak lagi menjalani rawatan di HSA hampir lima tahun, masalah jantung Rubi kini semakin serius. Selain bermasalah dengan jantung berlubang, injap jantungnya juga kini bermasalah dan memerlukan pembedahan,” cerita Azlin secara terus terang kepada wartawan BERNAMA.

Menurut Azlin lagi, beliau dan suami diberitahu  oleh pihak hospital, kos pembedahan untuk anak mereka, Rubi,  mencecah puluhan ribu ringgit.

“Mana kami mampu untuk menyediakan wang sebegitu banyak? Apatah lagi dengan pendapatan suami yang tidak seberapa dan dia pun tidak sesihat mana.

“Sememangnya kami tidak mampu. Jika diikutkan suami sendiri perlu melakukan pembedahan dan kosnya sekitar RM25,000. Dia terpaksa menangguhkannya kerana masalah kewangan yang kami hadapi,” katanya dalam nada sebak.

Azlin dan suaminya, Mohd. Faizul Redzuan sebelum ini pernah menjalankan perniagaan menjual sarapan di tepi jalan. Bagaimanapun jualan terpaksa dihentikan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, ujar Azlin.

Kepada seluruh pembaca SUARA MERDEKA yang budiman, apalah kiranya menghulurkan sumbangan kewangan bagi membantu keluarga ini.

Bantuan atau sumbangan anda boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Azlin Ahmad bernombor 0111741100032234. – SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button