Nasional

Amaran gelombang haba Tahap 1 di Kelantan

PENDUDUK tempatan diminta mengehadkan aktiviti luar dan hanya keluar untuk urusan penting berikutan amaran terbaru Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai gelombang haba.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Zaini Hussin berkata amaran Tahap 1 itu mungkin memberi sedikit impak kepada rakyat terutamanya kanak-kanak dan mereka yang menghidap penyakit serius.

“Gelombang haba Tahap 1 ini mungkin menyebabkan tubuh manusia mengalami tekanan yang boleh menyebabkan strok haba, mengakibatkan hilang upaya kekal atau kematian.

“Sesiapa sahaja boleh berisiko menjadi mangsa terutama mereka yang melakukan aktiviti fizikal luar, kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah serta orang dewasa berumur 40 tahun ke atas.

“Mereka yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit pernafasan, darah tinggi, sakit jantung, diabetes dan tiroid juga berada dalam kumpulan berisiko,” katanya.

Dr Zaini berkata risiko akan meningkat jika penduduk tempatan memakai pakaian tebal dan ketat memerangkap haba dan menghalang penyejatan peluh dari badan yang boleh menyebabkan sakit kepala, keletihan, kurang daya tumpuan, pening, lemah otot atau kekejangan, selain loya dan muntah.

“Keadaan yang lebih teruk boleh menyebabkan dehidrasi, koma dan kekeliruan,” tambahnya.

Bagi mengelakkan atau mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat panas melampau, beliau berkata orang ramai perlu minum banyak air kosong tanpa mengira tahap aktiviti fizikal, dan tidak menunggu untuk minum apabila berasa dahaga.

“Selain itu, orang ramai perlu berada di dalam rumah, banyak berehat, kerap mandi dan menggunakan kipas untuk menyejukkan badan,” tambahnya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran gelombang haba untuk Kelantan dan Sarawak, dengan suhu dijangka meningkat sehingga 37 darjah Celsius.

Gelombang haba telah diklasifikasikan sebagai amaran Tahap 1 dan akan berterusan selama tiga hari mulai semalam.

Kawasan terjejas di Kelantan ialah Tanah Merah dan Kuala Krai manakala Mukah di Sarawak. -SM

BACA JUGA : Cuaca panas diramal sehingga Ogos, JBPM kenal pasti 406 kawasan hot spot

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button