Hiburan

Alyah nyata hasrat untuk berhenti menyanyi, mahu dekat dengan agama

POPULAR dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang, Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan menyatakan dia berkemungkinan akan berhenti menyanyi.

Menurut penyanyi itu, dia mengakui tidak berhasrat untuk menyanyi selama-lamanya.

“Saya akan berhenti menyanyi tetapi tidak tahu bila. Apa yang saya pasti semuanya sudah dirancangkan Allah.

“Jika keputusan untuk berhenti menyanyi adalah tebaik untuk diri saya, apa salahnya. Ataupun saya tukar kepada lagu-lagu yang menyeru ke arah kebaikan,” katanya.

Isteri kepada maestro muzik tanah air, Datuk Ramli MS ini berkata, dia juga pernah bertanya kepada suami berkenaan hasrat untuk berhenti menyanyi.

Namun, Ramli berkata semua keputusan terletak di tangan Alyah yang menentukan sama ada mahu terus dalam industri seni atau sebaliknya.

“Saya pernah beritahu kepada suami nak berhenti menyanyi dan saya ditanya kembali tentangnya.

“Saya beritahu jiwa saya untuk menyanyi atas pentas itu dah tak ada dan sekarang ini saya dalam fasa untuk menyelesaikan kerja-kerja sahaja,” ujarnya.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu melibatkan dirinya, jelas Alyah, dia kini lebih banyak mendekatkan diri dengan hal-hal agama.

Menurutnya, dia terkesan dengan kata-kata seorang ustaz yang berkata bahawa jika kita ingin hidup tenang, seseorang itu perlu kembali kepada agama.

“Mungkin kita ini tidaklah terlalu sempurna, namun kita harus buat apa yang agama tuntut. Saya lakukan semuanya itu, terutama dari segi amalan iaitu dengan menjaga solat.

“Kini, saya sudah dapat merasai perubahan dalam kehidupan, misalnya sekarang saya lebih dapat mengawal emosi dan hidup rasa lebih ceria serta tenang,” jelasnya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button