Nasional

Alumni Anak Kandung Suluh Budiman sumbang hentian bas, bakal beri manfaat 27,000 pelajar UPSI

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menerima sumbangan sebuah hentian bas oleh alumni-alumni Anak Kandung Suluh Budiman iaitu nama gelaran bekas-bekas pelajar pusat pengajian tersebut.

Kira-kira 27,000 pelajar UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, akan menerima manfaat apabila pengoperasian pengajian dijalankan secara penuh kelak.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Muslimin Yahaya berkata, usaha murni tersebut wajar dipuji lebih-lebih lagi inisiatif penjanaan untuk pembangunan universiti turut dibantu oleh bekas-bekas pelajar universiti tersebut.

“Dengan perancangan dan komunikasi sempurna antara dua pihak iaitu alumni dan universiti, serta melalui pengurusan yang berkesan, membawa kepada kesepaduan ke arah memakmurkan pembangunan universiti dengan lebih cemerlang.

“Lebih-lebih lagi apabila pusat pengajian yang bersejarah ini bakal meraikan sambutan ambang 100 tahun penubuhannya pada November nanti,” jelasnya yang juga merupakan bekas pelajar Diploma Perguruan Khas UPSI pada perasmian hentian bas hari ini.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff yang turut hadir pada perasmian amat mengalu-alukan sumbangan daripada pihak luar lebih-lebih lagi daripada alumni sendiri untuk membantu melestarikan pembangunan universiti dengan lebih mapan.

“UPSI telah melalui sejarah yang cukup panjang sejak penubuhannya bermula dengan Sultan Idris Teaching College (SITC) pada tahun 1922 yang telah melahirkan ramai cendekiawan dan tokoh bijak pandai.

“Justeru, tidak mustahil UPSI mampu mencapai hasrat sebagai universiti pendidikan nombor 1 di Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Siti Hartini Azmi berkata, pembinaan hentian bas alumni merupakan inisiatif pelaksanaan jabatannya melalui dana penganjuran Kejohanan Golf Piala Tun Ghafar Baba pada tahun 2019 dengan kerjasama Pejabat Yang Dipertua Pulau Pinang. Hasil dana penganjuran program tersebut digunakan untuk membina hentian bas kemudahan dinikmati pelajar UPSI.

“Pusat Alumni akan terus melaksanakan pelbagai program untuk mengeratkan kerjasama berterusan antara universiti dan alumni antaranya program ziarah kasih alumni, perkongsian kisah kejayaan alumni serta penerbitan alumni,” jelasnya. -SM

Muslimin (dua dari kanan) merasmikan hentian bas alumni sambil diperhatikan oleh Md Amin (kanan sekali).
(Visited 805 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button