Nasional

Aktiviti sukan, kokurikulum luar bilik darjah dibenarkan mulai 1 Sept

AKTIVITI sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah untuk pelajar sekolah akan dibenarkan mulai 1 Sept ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara itu diluluskan oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini hasil pembentangan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai garis panduan aktiviti tersebut.

“Garis panduan ini merangkumi pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka termasuk amali di luar bilik darjah bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) serta Sains Sukan dalam keadaan yang terkawal,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, antara garis panduan yang perlu dipatuhi termasuk mendapatkan kebenaran bertulis ibu bapa atau penjaga.

Selain itu katanya, penggunaan bilik mandi dan persalinan dihadkan mengikut kapasiti disamping perlu memastikan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik dan tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik serta peralatan perlu dibersihkan dan dinyah cemar.

Aktiviti sukan dan kokurikulum juga katanya, perlu mematuhi Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta KPM, yang sedia ada. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button