BeritaRencah Hidup

Aktiviti CSR sesuai mampu wujud empati, tingkat produktiviti pekerja

KUALA LUMPUR – Adakah aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) hanya bertujuan memupuk hubungan syarikat dengan masyarakat sahaja ataupun hubungan antara industri menerusi tajaan?

Namun, pandangan umum pastilah penganjuran program-program CSR adalah bersifat pendidikan serta mempunyai pulangan pelaburan (ROI) sama ada rebat cukai dan sebagainya.

Bagaimanapun, satu persepsi cukup berbeza berjaya diketengahkan oleh sekumpulan kakitangan Eksekutif Perhubungan Pelanggan sebuah bank tempatan apabila menganjurkan aktiviti ‘Team Engagement’ mereka dengan mendekatkan diri kepada komuniti gelandangan.

Menurut Pengurus Operasinya, Nur Syazwani Rosli, aktiviti sedemikian sangat sesuai dilakukan oleh mereka yang bekerja dalam bidang perkhidmatan pelanggan kerana mampu mewujudkan rasa empati dalam diri.

Katanya, beliau tidak menjangka aktiviti bersama gelandangan mampu memberi impak kepada peserta terutama mereka yang bekerja sebagai Eksekutif Perkhidmatan Pelanggan.

“Komuniti gelandangan ini terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Bagi sudah berusia mereka tiada tempat tinggal dan perlu mencari makan yang sememangnya cukup sukar.

“Justeru apabila aktiviti ‘Team Engagement’ seperti ini memberikan kegembiraan kepada komuniti tersebut dan secara tidak langsung memberi kesan kepada peserta apabila dapat merasai kegembiraan ketika memberi sedikit bekalan makanan dan minuman kepada gelandangan.

“Perasaan sedemikian perlu disemai dalam kalangan kakitangan supaya mereka dapat membayangkan kegembiraan pelanggan yang dibantu ketika menghadapi kesulitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menganjurkan aktiviti amal bersama sekumpulan komuniti gelandangan di sekitar ibu kota di sini baru-baru ini.

PARA peserta ‘Team Engagement’ yang terlibat dengan aktiviti amal bersama komuniti gelandangan di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, selain itu program tersebut berjaya mewujudkan interaksi dan komunikasi berkesan serta melahirkan sifat kerjasama antara mereka.

Objektif program berkenaan dianggap berjaya oleh Eksekutif Khidmat Pelanggan, Muhamad Khaidir Adzim Ruslan selaku Ketua Projek yang mencetuskan idea CSR sedemikian walaupun berbeza daripada segi rutin pekerjaan.

Katanya, aktiviti sedemikian tidak pernah dilontar atau dilakukan kerana sebelum ini dia melihatnya sebagai program yang tiada kaitan dengan rutin pekerjaan.

“Ini adalah idea di luar kotak dan saya membayangkan impak yang boleh diaplikasikan dalam dunia pekerjaan, tenyata program ini cukup memberi kesan kepada kami dan berharap dapat meningkatkan produktiviti di tempat kerja.

“CSR seperti ini adalah pertama kali diadakan dan merancang untuk mengadakannya lagi pada masa akan datang selepas melihat impaknya sangat positif,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button