Berita

Gelandangan turut disuntik vaksin Covid-19

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengambil inisiatif meneruskan Program Vaksinasi melalui pelaksanaan Fasa 2 Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah melibatkan 133 orang gelandangan yang telah selesai menjalani Ujian Saringan COVID-19 dan dijadualkan menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama pada 22 Jun 2021. Kumpulan gelandangan diberikan vaksinasi COVID-19 awal, memandangkan mereka sering terdedah kepada jangkitan COVID-19. Jika dibiarkan berkeliaran tanpa perlindungan, risiko penyebaran wabak adalah tinggi.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, program ini dijalankan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta dikawal selia oleh PDRM, APM, anggota penguatkuasa DBKL dan RELA bagi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Sebagai langkah membantu kerajaan memastikan setiap gelandangan di ibu negara menerima vaksin, Program Vaksinasi dos kedua turut diberikan kepada golongan gelandangan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah. Inisiatif ini juga merupakan salah satu usaha pihak kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di Wilayah Persekutuan secara keseluruhan. Seramai 119 orang gelandangan di Pusat Komuniti Setiawangsa, akan melengkapkan suntikan vaksin dos kedua pada 17 Jun 2021dengan kesemua mereka telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 27 Mei lalu. Ini menjadikan jumlah keseluruhan, 252 orang gelandangan yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

Kementerian turut memperluaskan penggunaan Trak Vaksin Bergerak MyMedik@Wilayah ke tempat-tempat yang sukar diakses dalam WP Kuala Lumpur bagi memudahkan penduduk di lokaliti tersebut menerima vaksin selain menurunkan kadar risiko kebolehjangkitan wabak COVID-19 secara berperingkat. Adalah menjadi matlamat utama kerajaan untuk mencapai sasaran 80 peratus populasi warga Wilayah Persekutuan divaksin menjelang Ogos 2021 agar imuniti kelompok boleh dicapai.

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button