Mahkamah

Akauntan wanita didakwa 143 pertuduhan pecah amanah

SEORANG akauntan di sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas 143 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM38,000 pada tahun 2017 dan 2018.

Tertuduh, Nurul Husna Atiqah Shuib, 32, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan satu persatu oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang akauntan syarikat Petrogaz Engineering Sdn. Bhd., di Lumut, Perak telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan curangnya menyalahgunakan harta itu dan menjadikan harta sendiri.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Syarikat Petrogaz Engineering Sdn. Bhd., di dalam daerah Manjung, antara November 2017 sehingga April 2018.

Kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 14 tahun dan dengan sebat dan juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim memohon jaminan RM30,000 manakala peguam S. Dharmanathan yang mewakili tertuduh merayu jaminan minimum atas alasan, tertuduh perlu menyara tiga anak berusia antara dua hingga lapan tahun sementara suaminya tidak bekerja atas sebab tertentu.

Azman membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport diserah kepada mahkamah selain melaporkan diri di balai polis Seri Manjung sekali dalam sebulan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 10 September untuk penyerahan dokumen. – BERNAMA-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button