Nasional

Aiskrim vanila Haagen-Dazs ditarik balik dari pasaran

Produk aiskrim vanila Haagen-Dazs telah ditarik balik daripada jualan sejak bulan lalu selepas dikesan mengandungi bahan karsinogenik, etilena oksida (ETO) melebihi paras yang dibenarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak isu itu dilaporkan dan makluman diterima Kementerian Kesihatan (KKM) bulan lepas, syarikat pengimport itu secara sukarela menarik balik produk itu daripada pasaran.

“KKM mengambil maklum bahawa produk ais krim Haagen-Dazs telah ditarik balik daripada pasaran Eropah kerana ia mengandungi etilena oksida, berdasarkan pemberitahuan oleh Sistem Amaran Pantas untuk Makanan dan Makanan Kesatuan Eropah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pemberitahuan itu menyatakan bahawa terdapat penarikan balik produk aiskrim dari Perancis yang mengandungi ekstrak vanila dari Madagascar, yang didapati mengandungi lebih daripada tahap ETO yang dibenarkan, dan produk itu dijual di beberapa negara termasuk Malaysia.

“Pemantauan berterusan juga telah dijalankan bagi memastikan produk tersebut tidak dipasarkan di dalam negara,” katanya.

ETO ialah sebatian gas kimia yang sering digunakan untuk tujuan pengasapan untuk membunuh perosak seperti serangga.

Ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam detergen dan tidak dibenarkan untuk digunakan pada permukaan yang bersentuhan dengan makanan.

Dr Noor Hisham berkata KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan mereka yang ragu-ragu mengenai penjualan produk berkenaan boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

(Visited 386 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button