Air termenung rugikan 60 pekebun kecil
JASIN 10 Jan. – Kira-kira 60 pekebun kecil kelapa sawit di Batu Gajah dan Lanchang dekat sini mengalami kerugian hampir RM1.5 juta akibat banjir dan ‘air termenung’ sejak dua tahun lalu hingga sekarang.
Salah seorang pekebun, Abdul Majid Md. Jim, 57, berkata, kawasan seluar 40 hektar teruk terjejas apabila kebun kelapa sawit digenangi air termenung ekoran banjir yang kerap melanda kawasan tersebut sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, hampir kesemua pekebun kecil di kawasan terbabit tidak dapat mengait buah kelapa sawit kerana kawasan digenangi air dan tidak surut-surut walaupun banjir sudah reda.
“Saya ada tiga hektar kebun kelapa sawit tetapi tidak dapat mengeluarkan buah kerana masalah air termenung. Seluruh pekebun di sini menghadapi masalah ini sejak dua tahun lalu hingga sekarang.
“Banjir pada 17 Disember lalu dan baru-baru ini, telah memburukkan keadaan apabila limpahan air daripada Sungai Kesang, Lanchang dan Kuala Semujuk meningkat serta memasuki kawasan kebun.
“Sampai bila nasib pekebun seperti saya serta rakan lain berdepan masalah ini yang tidak dapat diselesaikan,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.
Ketika ini, banjir sudah mula reda khususnya di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah namun di Jasin keadaan masih berlarutan disebabkan air termenung.
Abdul Majid berkata, beliau mewakili seluruh pekebun merayu kerajaan negeri terutamanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Seorang lagi pekebun, Mohd. Ghazali Naffis, 54, berkata, dia kerugian hampir RM144,000 sepanjang tempoh tersebut kerana tidak dapat mengait buah kelapa sawit apabila kebun seluas hampir dua hektar
ditenggelami air termenung.
“Apabila banjir berlaku air melimpah memasuki kebun dan bila banjir surut air tidak dapat keluar bertakung begitu lama dan macam mana pekerja saya nak mengait buah kelapa sawit,” ujarnya.
Bagi Azali Ahmad, 62, yang memiliki kebun kelapa sawit seluas dua hektar turut merayu kerajaan negeri dan JPS untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi seluruh pekebun di situ secepat mungkin.
“Bukan sahaja tidak dapat mengambil hasil malah pokok kelapa sawit yang ditenggelami air lebih lima hari akan menjejaskan hasil pengeluaran buah sawit.
“Aduan sudah dibuat tetapi tidak ada tindakan diambil apakah nasib kami seluruh 60 pekebun kecil terus hilang punca pendapatan,” ujarnya.