BanjirNasional

Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia: Lebih 10,000 rumah sedang dibaikpulih

283 rumah baharu mangsa banjir bakal dibina

KERJA-KERJA membaik pulih dan membina baharu kediaman mangsa banjir menerusi Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia telah pun bermula.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Kerajaan melalui KPLB dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memulakan kerja-kerja berkenaan ke atas lebih 10,000 rumah.

Kesemua rumah itu dikenalpasti untuk dibaik pulih dan 283 rumah baharu bakal dibina oleh kedua-dua kementerian terbabit.

“Angka tersebut diperoleh daripada Pejabat Daerah dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

“Sebanyak 1,879 rumah untuk dibaik pulih dan 165 bina baharu telah dikenal pasti untuk dibina dan dibaiki di bawah seliaan KPLB,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di KPLB, hari ini.

Beliau berkata, kontraktor tempatan akan diberi keutamaan untuk melaksanakan projek Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.

Katanya lagi, projek di bawah seliaan KPLP akan dikendalikan agensi di bawah kementerian iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan FELCRA Bhd (FELCRA).

Sementara itu, Reezal berkata, Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat membabitkan 8,257 rumah yang dikesan terjejas banjir di bawah seliaan KPKT.

Beliau bagaimanapun berkata, perangkaan itu tidak statik sebaliknya boleh berubah mengikut perkembangan keadaan semasa berikutan sesetengah kawasan masih dilanda banjir.

Berdasarkan jumlah sedia ada katanya, sebanyak 8,139 adalah rumah yang akan dibaik pulih, manakala 118 lagi untuk pembinaan baharu dibawah seliaan KPKT.

“Fasa pertama inisiatif ini membabitkan pengumpulan data oleh Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di peringkat daerah, penyelarasan data di peringkat negeri oleh kerajaan negeri dan maklumat rakyat terkesan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sebagai pusat data utama mangsa banjir.

“Fasa kedua pula merangkumi proses pemeriksaan, penilaian dan pengesahan data membabitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta kerajaan negeri,” katanya.

Tambah beliau, fasa ketiga adalah kerja pembinaan atau baik pulih semua rumah yang terkesan sehingga siap dan kemudian akan dilaporkan semula kepada ICU.

Katanya, nilai asas untuk kerja-kerja baik pulih sebuah rumah adalah sekitar RM5,000 hingga RM15,000, manakala RM56,000 adalah untuk bina baharu kediaman. – SM

 

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button