
Keluar terus. Sindir Zahid kepada KJ
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka yang telah meninggalkan parti boleh terus ‘duduk di luar selama-lamanya’ manakala yang masih kekal perlu menunjukkan taat setia kepada pimpinan.
Bercakap dalam program audio siar TV3, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata tidak guna jika UMNO mempunyai ahli paling ramai tetapi menjadi ‘buih di lautan’.
“UMNO ada 26 kerusi, mana tidak mengecil jika di dalam berpecah, sebab itu matlamat saya sekarang adalah menyatukan semula ahli akar umbi.
“Mereka yang telah tinggalkan parti silakan terus (berada di luar)… yang keluar sekejap, keluar selama-lamanya pun tak apa. Jika ada gunting dalam lipatan, ada kaduk naik junjung saya fikir orang ini tidak diperlukan.
“Biarlah sedikit ahli UMNO tetapi mereka adalah yang taat setia kepada parti, jumlah yang banyak kita tidak mahu jadi buih di lautan. Biar sedikit,” katanya.