Air mineral berselerakan di jalan dalam nahas tiga kenderaan
SEBUAH lori sarat membawa air mineral terbalik sehingga barang muatan berselerakan di jalan raya apabila terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta.
Bagaimanapun pemandu lori dan kereta Proton Persona hanya mengalami cendera ringan manakala pemandu pikup tiada sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kejadian ini berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ini (8 April) di Jalan Kangar – Arau
(simpang Taman Gembira).
Beliau berkata, dalam kejadian ini, kereta Proton Persona yang dipandu oleh lelaki berusia 38 tahun ini keluar dari arah Taman Gembira, Jejawi menuju ke Kangar.
“Ketika keluar dari simpang Taman Gembira untuk membelok ke kanan secara tiba-tiba dilanggar oleh sebuah pikup dipandu oleh seorang Juruteknik berusia 37 tahun yang datang dari arah Arau ke Kangar,” katanya dalam satu kenyataan.
Yusharifuddin berkata, akibat pelanggaran itu telah membuatkan pemandu kereta hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan iaitu Kangar ke Arau.
Katanya, ini mengakibatkan kereta ini bergesel dengan bahagian sisi sebelah kanan sebuah lori.
Tambannya, kereta Proton Persona telah remuk pada bahagian hadapan manakal pintu belakang kiri kemek. – SM