Politik

Air: Ketua Menteri PP terbuka bincang pampasan kepada Kedah

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang terbuka kepada sebarang perbincangan berkaitan pampasan RM50 juta setahun caj air mentah seperti yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Kedah  Muhammad Sanusi Md Nor .

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, isu tersebut tidak akan dapat diselesaikan dengan hanya tindakan ‘perang mulut’ di antara kedua-dua negeri.

“Adalah ditegaskan bahawa isu tersebut tidak dapat diselesaikan dengan hanya tindakan ‘perang mulut’ di antara kedua-dua negeri termasuk sewenang-wenangnya menyuarakan perkara yang membuatkan rakyat berasa lucu serta kecewa.

“Rakyat tidak mahu melihat kedua-dua negeri melakukan ‘perang mulut’ di dalam media sebaliknya berharap agar satu perbincangan diadakan sebagai jalan penyelesaian,” kata Kon Yeow.

Beliau juga berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menyokong usaha negeri Kedah untuk mendapatkan pampasan daripada Kerajaan Persekutuan kerana isu sumber air mentah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat.

Dalam pada itu, Kon Yeow sekali lagi mengulangi pendirian bahawa Pulau Pinang hanya mengekstrak sumber air mentah dari Sungai Muda di bahagian sempadan negeri sejajar dengan undang-undang dan hak antarabangsa.

“Bagaimanapun, kita masih terbuka terhadap sebarang berbincangan berkaitan tuntutan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Kedah,” ulasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyemprnakan majlis pecah tanah bagi syarikat Iconic Worldwide Berhad dekat Batu Kawan hari ini.

Isu sumber air Pulau Pinang yang datangnya dari Sungai Muda di Kedah menjadi hangat apabila Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Jaseni Maidinsa, menggesa kerajaan negeri menghentikan hasrat melombong mineral jenis rare element earth di Sik dan Ulu Muda, Baling.

Serentak itu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menuntut PBAPP menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun, sebelum mencampuri urusan berkaitan sumber air di negeri berkenaan.

Menurut Muhammad Sanusi, negeri Kedah terpaksa melakukan pengorbanan kos dan ekonomi demi menjaga bekalan air di Sungai Muda untuk kegunaan Pulau Pinang yang tidak langsung memberi sebarang bayaran kepada negeri itu.-SM

 

(Visited 557 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button