Ekonomi

Ahmad Shahril dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat

KUALA LUMPUR 15 April – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan pelantikan Ahmad Shahril Mohd Shariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat berkuat kuasa pada 9 April 2025.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedickdalam satu kenyataan berkata, pelantikan tersebut adalah berdasarkan komitmen dan dedikasi tinggi yang ditunjukkan oleh beliau sepanjang menggalas tugas sebagai Pemangku

Ketua Pegawai Eksekutif sejak 9 November 2024. Ahmad Shahril yang mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam industri perbankan dan kewangan termasuk di Bank Negara Malaysia dan institusi perbankan tanah air, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan dan Perakaunan dari University of Salford, United Kingdom serta Ahli Bertauliah di Chartered Institute of Islamic Finance.

“Dengan pengalaman yang luas dalam industri perbankan dan kewangan, pihak Kementerian amat yakin beliau mampu mengemudi dan menggalas segala tugas yang diamanahkan sebaik mungkin, khususnya dalam usaha meningkatkan kesejahteraan anggota dan pihak berkepentingan, memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi, di samping menyokong inisiatif inklusiviti kewangan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, ” ujar Ewon.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarakberkata, Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Pengurusan serta seluruh warga kerja Bank Rakyat mengalu-alukan pelantikan Ahmad Shahril sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank berkenaan.

“Kami positif dan optimistik bahawa Bank Rakyat di bawah kepemimpinan beliau akan terus mengekalkan mandatnya untuk membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara dan sosioekonomi masyarakat sebagai Institusi Kewangan Pembangunan yang progresif dan berdaya saing, berteraskan nilai-nilai Islam serta kemampanan melalui pelan strategik lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25) dan seterusnya membentuk ‘Bank Rakyat Masa Depan’ (Bank Rakyat of Tomorrow),”  tambah Mohd Irwan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button