Nasional

Ahmad Faizal potong gaji dua bulan

IPOH 27 Mac – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengumumkan untuk memotong dua bulan gaji beliau sebagai Menteri Besar yang disumbangkan kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.

“Keputusan ini selaras dengan keputusan Kabinet untuk memotong dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk disalurkan ke Tabung Covid-19 di peringkat pusat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri menzahirkan rasa sedih dan dukacita di atas korban pertama wabak Covid-19 di negeri ini melibatkan seorang pesakit berusia 62 tahun yang berasal dari Kajang, Selangor.

Menurutnya, kerajaan negeri percaya pasukan perubatan di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) di sini telah melakukan yang terbaik untuk merawat mangsa sejak dirujuk di hospital itu pada 23 Mac lalu.

BACA:

Related Articles

“Ketika Kementerian Kesihatan menjalankan siasatan kemungkinan kaitan mangsa dengan mana-mana kluster Covid-19, kita perlu merasa bimbang kerana dua daerah di negeri ini iaitu Hilir Perak dan Kinta telah diklasifikasikan sebagai kawasan Zon Merah.

“Ini selepas kes melepasi paras 40 kes positif Covid-19 dengan masing-masing mencatatkan 48 dan 41 kes positif sehingga semalam,” katanya.

Menurut beliau, selain itu, jumlah kes jangkitan positif di seluruh negeri Perak pula terus meningkat kepada 151 kes sehingga semalam melibatkan hampir kesemua daerah kecuali Kampar.

“Justeru, kerajaan negeri mengulangi rayuan kepada semua rakyat untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dengan duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya perlu sahaja serta mengamalkan jarak sosial,” katanya. – Perak Gazette

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button