Ahli akademik cipta sejarah menang pingat emas pertama e-Sukan Malaysia
e-Sukan merupakan satu acara yang buat pertama kalinya dianjurkan di Sukan SEA, dan atlet yang berusia 29 tahun itu memenangi emas bersejarah itu bagi permainan Hearthstone, dengan menewaskan peserta Thailand Werit Popan 3-1 untuk pingat emas.
Pemegang Doktor Falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Elektronik yang juga seorang penolong professor di Universiti Heriot Watt, Malaysia, juga menolak persepsi mereka yang menghabiskan masa bermain permainan elektronik tidak boleh berjaya dalam pendidikan dan kerjaya dengan berjaya dalam kedua-duanya.
Lebih dikenali dengan nama wkyew90, Yew memulakan perlawanan dengan memenangi permainan pertama, namun kalah permainan kedua dan terikat kedudukan 1-1.
Pada permainan ketiga, beliau menghadapi persaingan sengit lebih daripada setengah jam, untuk mendapatkan mata kedua, sebelum memenangi perlawanan keempat dengan mudah, untuk menang 3-1.
“Pingat emas ini, amat bermakna untuk saya dan Malaysia, kerana ini pingat emas pertama negara dalam e-Sukan dalam sejarah Sukan SEA. Rasa kagum, gembira dan bersyukur … saya percaya saya dapat mencipta sejarah, dengan menyumbangkan satu pingat emas kepada negara dan saya amat gembira untuk memenanginya.
“e-Sukan satu trend sekarang ini, akan terus ada walau apapun kita lakukan … Remaja dan generasi kita akan datang akan lebih dan lebih terikut dengan permainan elektronik, ibu bapa seharusnya melihatnya dari segi positif, kerana permainan elektronik sebenarnya boleh meningkatkan pemikiran serta pemikiran strategik dan kritikal.
“Kesemua ini adalah skill yang diperlukan dalam kehidupan, namun anak-anak perlu mengimbangkan antara permainan, aktiviti kesihatan dan juga penddikan. Jika sepenuh masa bermain tanpa peningkatkan dalam pelajaran, anda tidak akan berjaya,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian hadiah.
Hearthstone merupakan satu permainan dalam talian berdasarkan kepada permainan kad berstrategi yang dimainkan antara dua orang.
Malaysia sebelum ini menang gangsa dalam Mobile Legends: Bang Bang menerusi Ahmad Ali Huzaif Abdullah, Abdul Wandi Abdul Kadir, Jamil Nurolla, Izme Haqeem Hamsjid dan Muhammad Hazeem Onn selepas tewas kepada pasukan tuan rumah 0-2, semalam.
Sejumlah enam pingat emas dipertandingkan dalam e-Sukan iaitu, Tekken 7, Starcraft II, Heartstone, Arena of Valor, Dota 2 dan Mobile Legends: Bang Bang.
— BERNAMA