Nasionalpilihan

Ah Long: 683 kes disiasat, jumlah kerugian cecah RM2.9 juta

SEBANYAK 683 kes berkaitan melibatkan pinjaman Ah Long disiasat dengan jumlah pinjaman berjumlah RM2.9 Juta sejak Januari hngga ogos lalu.

Dalam tempoh tersebut juga, sebanyak 801 orang Ah Long telah ditangkap dan pemantauan serta risikan berterusan sentiasa dijalankan untuk mengenal pasti sindiket Ah Long.

Terbaharu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya telah menahan 14 individu menerusi Operasi Vulture 5/2021 yang dilakukan kira-kira pukul 11.30 malam kelmarin.

“Serbuan dilakukan secara serentak di sekitar daerah Johor Bahru Utara, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri.

“Hasil serbuan menahan 14 individu iaitu 11 lelaki dan 3 perempuan yang merupakan ahli sindiket kumpulan ‘Ah Han’ dan Ah Sing,” katanya.

Menurut Mohd Kamarudin, kesemua tangkapan berusia lingkungan 15 hingga 34 tahun dan disyaki terlibat dalam aktiviti Ah Long serta menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa.

Jelasnya, siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi lebih kurang dua tahun sejak pertengahan 2019.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di aplikasi media sosial dan menyasarkan golongan peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta dengan kadar faedah pinjaman sebanyak 10% hingga 15% bagi tempoh seminggu.

“Apabila peminjam gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman, mangsa akan diugut melalui telefon dan diancam dengan perbuatan khianat terhadap harta benda milik peminjam,” katanya.

Ujarnya, ahli sindiket juga akan berpakat untuk menghubungi peminjam yang gagal melunaskan pinjaman dengan menawarkan pinjaman terdahulu.

Katanya lagi, ini bagi membolehkan ahli sindiket meneruskan kontak dengan peminjam untuk memaksanya membuat bayaran berliat kali ganda menerusi faedah yang dikenakan secara berterusan.

Dalam pada itu, Mohd Kamarudin berkata, selain tangkapan, pihaknya turut merampas lapan buah kenderaan mewah, 23 telefon bimbit, 67 keping kad bank dan beberapa barangan lain.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 5(2) dan Seksyen 29 B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATPUAA 2001). -SM

(Visited 136 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button