Nasional

Agong perintis projek PETRONAS-ADNOC, Ismail Sabri bersyukur dimuktamadkan

PERJANJIAN di antara PETRONAS Abu Dhabi Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh PETRONAS dengan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) yang dimeterai adalah projek yang dirintis oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Baginda Tuanku telah memulakan perbincangan awal dengan Presiden United Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Kata Ismail Sabri lagi, semasa lawatan rasmi beliau ke Abu Dhabi pada September alu, ADNOC telah memberikan taklimat mengenai kerjasamanya dengan PETRONAS untuk meneroka sektor minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.

“Perkara ini juga telah dibincangkan dengan lebih mendalam ketika pertemuan empat mata di antara saya dengan Yang Mulia Sheikh Mohamed. Baginda bersetuju supaya projek ini dipercepatkan,” kata Ismail Sabri dalam hantaran di Facebook miliknya.

Beliau berkata, “Alhamdulillah kerjasama ini telah dimuktamadkan. Menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong kerana memainkan peranan penting dalam projek bersejarah ini.

‘Tanpa hubungan yang erat antara Baginda dan Presiden UAE, projek ini tidak akan menjadi kenyataan.”

Kata Ismail Sabri lagi yang juga Ahli Parlimen Bera, Pahang, sewaktu pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, Malaysia dan UAE bersetuju untuk meningkatkan hubungan sedia ada antara kedua-dua negara kepada ‘Perkongsian Strategik’.

“Saya memberikan perhatian yang serius untuk memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan dan perdagangan, tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan serta minyak dan gas.

“Perdagangan antara Malaysia dan UAE telah meningkat sebanyak 90.4 peratus untuk lapan bulan pertama 2022 iaitu AS$6.14 bilion (RM25.60 bilion).

“Semoga hubungan erat di antara Malaysia dan UAE terus diperkukuhkan pada masa depan,” kata Ismail Sabri. – SM

(Visited 297 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button