Ekonomi

Affin catat untung bersih lebih tinggi RM117.95 juta

UNTUNG bersih Affin Bank Bhd mencatatkan kenaikan sebanyak RM117.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 berbanding dengan RM67.4 juta bagi tempoh yang sama tahun kewangan 2020.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, bank itu menjelaskan perolehan turut meningkat kepada RM578.90 juta daripada RM462.46 juta bagi tempoh yang sama.

Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2021 Affin merekodkan keuntungan sebelum cukai selepas zakat (PBT) sebanyak RM282.2 juta berbanding dengan RM267.9 juta pada tempoh yang sama tahun kewangan 2020.

PBT yang 5.3 peratus lebih tinggi tahun ke tahun itu didorong terutama oleh peningkatan 26.4 peratus pendapatan faedah bersih serta kenaikan 7.8 peratus pendapatan perniagaan perbankan Islam.

Bagaimanapun keuntungan bersih bagi tempoh enam bulan itu susut kepada RM186.9 juta daripada RM190.97 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2020.


“Kami terus melabur dalam pendigitalan perniagaan kami untuk membangunkan perniagaan yang lebih teguh dan mampan bagi jangka panjang,” jelasnya.

Perbelanjaan operasi meningkat sebanyak RM22.2 juta atau 3.4 peratus kepada RM681.0 juta daripada RM658.7 juta setahun lalu.

Kenaikan perbelanjaan operasi itu disebabkan perbelanjaan kakitangan lebih tinggi sebanyak RM37.2 juta, diimbangi oleh perbelanjaan organisasi serta perbelanjaan am dan pentadbiran yang rendah masing-masing pada RM8.9 juta dan RM7.2 juta.

Peruntukan bagi kerugian susut nilai menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak RM3.4 juta kepada RM175.3 juta tahun ke tahun.

Mengenai prospek tahun kewangan 2021, bank itu kekal komited dalam membantu pelanggan yang terjejas akibat pandemik dan akan terus menawarkan program Bantuan Kewangan dan Bantuan Ansuran (FAIR) kepada semua pelanggan yang memerlukan bantuan berkenaan.

(Visited 25 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button