Affin Bank peroleh kelulusan jual pegangan syarikat insurans
Affin Bank Bhd memperoleh kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) pada 6 Mei untuk menjual 21 peratus kepentingan ekuitinya dalam AXA Affin Life Insurance Bhd (AALI) dan 2.95 peratus kepentingann dalam AXA Affin General Insurance Bhd (AAGI) kepada Generali Asia NV.
Sehingga kini, Affin memegang 51.0 peratus kepentingan dalam AALI dan 49.95 peratus dalam AAGI.
Affin dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya akan memeterai perjanjian penjualan saham dengan Generali Asia untuk penjualan dalam AALI dan AAGI tertakluk kepada penyelesaian baki syarat mengikut perjanjian pelaksanaan, dan pengumuman lanjut akan dibuat sewajarnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata pihaknya menyaksikan peluang pertumbuhan sinergistik untuk AAGI dan AALI dengan usaha sama itu.
“Kami juga melihat keupayaan untuk meningkatkan penyelesaian kewangan dan penawaran produk kami kepada pelanggan melalui perkongsian bankasurans masa depan dengan Generali,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, MPHB Capital Bhd (MPHB Capital) menjelaskan MOF melalui surat BNM bertarikh 6 Mei meluluskan penjualan oleh Multi-Purpose Capital Holdings Bhd (MPCHB) dan MPHB Capital bagi 51 peratus kepentingan ekuiti milik MPCHB dalam MPI Generali Insurans Bhd kepada Generali Asia.
“Butiran lanjut akan diumumkan selepas perjanjian pembelian saham dimuktamadkan dan dilaksanakan,” tambahnya. – Bernama