Politik

Ada `si kitul’ laga-lagakan Dr. Mahathir-Muhyiddin-Mukhriz

KOMENTAR

EXCO Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muzammil Ismail percaya ada `si kitul’ yang melaga-lagakan kepemimpinan Bersatu antara pengerusi dengan presidennya berserta timbalan presiden parti itu.

Membidas kenyataan “Armada tolak Perikatan Nasional (PN), kembali kepada Pakatan Harapan (PN)” yang dikeluarkan Armada Pusat petang tadi, beliau mengingatkan nada sedemikian hanya memecahkan kesatuan dan ketenangan parti tersebut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) waktu ini.

Sepatutnya, tegas Muzammil, Bersatu tidak berkrisis dengan mendesak sesama ahli dan pemimpin ‘pergi masuk UMNO! pergi masuk DAP PKR!’.

Sedangkan, kata beliau, tumpuan kini adalah untuk mengukuhkan kerajaan dan kuasa yang ada bagi memastikan ahli parti terus mendapat manfaat manakala rakyat pula sedang berharap kerajaan berkhidmat lebih baik.

“Ini bukan soal selamatkan Bersatu. Cukup-cukuplah membuat naratif meminggirkan presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan kebanyakan ahli akar umbi sendiri.

“Tan Sri Muhyiddin pernah mohon maaf secara terbuka dan minta untuk diselesaikan. Perdana Menteri kelapan juga cuba meleraikan sengketa atau salah faham yang berlaku. Tetapi ada `si kitul’ yang melaga-lagakan.

“PN memang tidak berdaftar dan tiada sebarang ikatan yang formal. Tetapi itu hanyalah disebabkan PKP berlaku hanya selepas beberapa hari kerajaan baharu dibentuk. Kerjasama politik antara parti-parti dalam PN pasti akan termeterai. Tanpa kuasa semua adalah sia-sia.

“Tun Dr. Mahathir ayahanda kami, Tan Sri Muhyiddin ayahanda kami, Datuk Seri Mukhriz pemimpin utama kami. Saya dan ahli akar umbi yang lain merayu. Ini soal kita. Pedulikan pihak lain. Selesaikan urusan kita. Ketepikan ego,” kata beliau dalam kenyataan kepada SUARA MERDEKA malam ini.

Muzammil mengulas kenyataan Armada diketuai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membuat keputusan menolak kerjasama dengan UMNO, sebaliknya kembali bekerjasama dengan PH.

Menurut Syed Saddiq yang anti PN, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dihadiri exco dan ketua Armada negeri serta Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu.

Beberapa hari lepas, Pemuda PKR (AMK) membidas kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahudin Ayub bahawa PH sedia menerima kembali Bersatu Johor.

Menurut Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Ab Razab, AMK secara tegas menolak idea untuk menerima kembali Bersatu sebagai anggota PH.

Ahmad Syukri juga menggesa pemimpin PH yang mahu menubuhkan kerajaan bersama Bersatu meninggalkan parti.

Muzammil seterusnya berkata, selepas keluar satu poster AMK yang bertajuk ‘Apa ada dengan Bersatu’, beliau melihat rakan-rakannya sama ada yang pro kepada PN mahupun PH, semuanya bersatu mengutuk dan mengkritiknya dengan keras.

“Kerana apa? Semua sayangkan parti keramat ini (Bersatu).

“Kami (Armada) tidak pernah lupa yang meratip setiap hari transisi kuasa PM-7 perlu dipercepatkan (dari Dr Mahathir kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan hampir setiap minggu ada yang membuat spekulasi jahat, penulisan tidak percaya Tun (Dr. Mahathir). Saya beberapa kali membuat kritikan keras terbuka.

“Adakah Datuk Seri Anwar sanggup melepaskan status Ketua Pembangkang kepada Bersatu? Adakah Anwar sanggup memberi status Ketua PH kepada Bersatu? Mustahil. Kerana tiada keikhlasan dan kepercayaan lagi,” katanya.

Muzammil menegaskan, pihaknya cuba memulakan penyatuan di peringkat sayap pemuda.

“Jika perpecahan dan pertelingkahan melangkaui kesatuan akibat pertembungan pemilihan parti ini, saya lebih rela menarik diri daripada semua ini berlaku. Demi parti, asalkan kita jangan berpecah.

“Kami menyokong penuh kerajaan baharu ini, PN di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sejak dari mula,” kata beliau. – SM

(Visited 339 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button