AC Mizal tampil bidas dakwaan bekas staf, Tegaskan gaji tidak tertunggak
Pengacara TV popular tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan seorang individu yang mengatakan dirinya tidak menerima gaji selama tiga bulan daripada stesen televisyen milik pengacara tersebut.
Datuk AC Mizal, pengasas stesen Suke TV, menegaskan bahawa tuduhan itu tidak berasas dan semata-mata merupakan fitnah yang disebarkan di media sosial.
Menurut AC, isu yang membabitkan dakwaan bahawa Suke TV gagal membayar gaji individu tersebut adalah tidak benar. “Assalamualaikum semua. Saya, AC Mizal, terpanggil untuk memberi respons terhadap kenyataan yang tular di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya. Meskipun pada awalnya beliau tidak berniat untuk memberi sebarang komen, AC menjelaskan bahawa setelah ramai bertanya dan untuk mengelakkan salah faham, beliau memutuskan untuk tampil memberi penjelasan.
Beliau juga memaklumkan bahawa peguamnya dan pihak pengurusan Suke TV telah diarah mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit. “Saya serahkan kepada mahkamah untuk menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah. Tuduhan ini dibuat oleh bekas kakitangan yang telah ditamatkan perkhidmatan kerana melanggar syarat kerja dengan syarikat,” jelas AC.
Tambah AC lagi, pihaknya mempunyai bukti kukuh namun memilih untuk tidak menghebohkan isu ini kepada umum. “Kami memiliki semua bukti yang diperlukan, namun biarlah proses undang-undang dan mahkamah menentukan kebenaran. Saya berharap agar masyarakat dapat menilai isu ini dengan bijaksana dan tidak menyebarkan fitnah yang tidak berasas.”
Pihak Suke TV, katanya, sentiasa terbuka untuk berbincang sekiranya terdapat isu, asalkan melalui saluran yang betul. “Gunakanlah saluran yang tepat untuk berbincang, jangan salah guna media sosial untuk kepentingan tertentu,” ujarnya sambil mengakhiri kenyataan dengan ucapan terima kasih.