Nasional

Abu Zahar salahkan diri sendiri, letak jawatan cara terhormat

TOKOH Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar berpendapat, Tan Sri Abu Zahar Ujang perlu menyalahkan dirinya sendiri atas kontroversi yang tercetus ekoran sidang akhbarnya pada 5 Januari lalu.

TAN SRI ABU ZAHAR UJANG

Sidang akhbar itu diadakan oleh Abu Zahar untuk membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki daripada sebarang salah laku berkaitan dengan pemilikan jutaan saham korporat.

Menurut Johan, adalah tidak wajar sama sekali Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) itu menyalahkan media sebagai punca semua ahli LPPR menolak kenyataan beliau.

Walaupun beliau merasa kecewa, dirinya sendiri patut dipersalahkan, kata Johan.

RASUAH
Azam Baki

Memetik laporan The Star, Johan berpendapat, Abu Zahar perlu berundur daripada jawatannya dengan segera. Dalam erti kata lain, meletak jawatan sebagai Pengerusi LPPR.

“Saya kecewa dengan tindakan Abu Zahar yang menyalahkan media atas kekhilafan beliau semasa sidang media pada 5 Januari lalu.

“Menyalahkan media atas kegagalan diri sendiri adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak wajar,” kata Johan.

Mengulas lanjut Johan yang juga bekas Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) memberitahu, Abu Zahar seharusnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakan beliau pada sidang media baru-baru ini.

“Dengan ini, lebih baik dengan hormat letak jawatan dengan segera seperti yang dituntut pelbagai pihak.

“Kami pengamal media dan rakyat hanya mengharapkan akauntabiliti yang tinggi daripada beliau.

“Saya juga tertanya-tanya apakah beliau akan turut menyalahkan media dengan tindakan enam ahli LPPR yang tidak bersetuju dengan kenyataannya dan menyifatkannya sebagai pandangan peribadi beliau semata?” soal Johan.

Untuk rekod, dalam satu sidang media pada Selasa lalu, Abu Zahar menyalahkan media sebagai penyebab semua ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah menolak kenyataan beliau pada 5 Januari lalu.

Beliau memberitahu, kenyataannya setebal 13 muka surat tetapi tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh sesetengah media sehingga “menyumbangkan kepada salah tanggapan dalam kalangan masyarakat.”

Beliau berkata, kenyataan terbarunya bertujuan meletakkan beberapa perkara “dalam perspektif yang betul dan tepat” kerana masyarakat telah mendapat gambaran yang tidak tepat selepas mengikuti laporan media sebelum ini. – SM

 

(Visited 447 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button