Politik

Ab. Rauf bukan naga, buaya, singa dan bukan abang besar

CALON Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Udangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Datuk Seri Ab. Rauf Yusof menafikan dirinya naga, buaya, singa atau harimau.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka  itu juga menafikan dirinya menjadi “abang besar” melebihi Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali.

Sebaliknya beliau berkata, dirinya dilabelkan sedemikian rupa berikutan tanggungjawab dan amanah yang digalasnya pada Pilihan Raya Negeri Melaka. Label tersebut juga dianggap sebagai permainan politik pihak tertentu.

“Saya dilihat begitu kerana saya memandu dan memayungi pimpinan saya bagi memenangi PRN Melaka, jadi saya menyanggah semua persepsi ini dengan hati terbuka.

“Bagaimanapun sebagai pemimpin pastinya kritikan selalu ada, dan saya melihat ‘anggapan’ sebegini semuanya adalah permainan politik pihak tertentu,” kata pengerusi perhubungan Umno Melaka itu kepada Bernama TV dalam satu temu bual eksklusif hari ini.


Ab Rauf menyifatkan pihak yang memainkan isu berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab bukan sahaja pada diri sendiri, malah kepada negeri dan masyarakat Melaka.

Memetik laporan Bernama, Ab Rauf tidak menolak kemungkinan serangan ke atasnya dibuat berikutan terdapat pihak yang mengidam jawatan ketua menteri.

Label itu juga sebagai cubaan untuk mencipta persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadapnya.

“Isu ini dimainkan oleh mereka yang kecewa, tidak dapat meletakkan diri dia sebagai Ketua Menteri sekali lagi kerana perancangan awalnya dia boleh mengambil alih kerajaan negeri, tetapi dia dipermainkan dan dipergunakan untuk menjatuhkan kerajaan negeri, akhirnya tidak diizinkan menjadi ketua menteri. Jadi dia mengalihkan isu ini,” katanya.

Sebagai individu yang mengepalai UMNO di Melaka, Ab Rauf berkata, dirinya dilihat rapat dengan Sulaiman, namun menurutnya, beliau masih menghormati sempadan dan tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Ab Rauf yang disifatkan sebagai calon “heavyweight” bagi merebut kerusi panas di DUN Tanjung Bidara, akan berhadapan dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Zainal Hassan daripada Pakatan Harapan (PH). Penyandang kerusi itu sebelum ini ialah Md Rawi Mahmud dari BN.-SM

(Visited 52 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button