Nasionalpilihan

Sultan Selangor titah Festival Bon Odori tidak disekat

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan supaya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak mengambil pendirian dan sikap menyekat program Festival Bon Odori daripada diteruskan.

Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Sultan Selangor bertitah sedemikian ketika beliau menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan hari ini bagi membincangkan Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic) pada 16 Julai depan.

Beliau berkata, baginda juga menitahkan supaya tidak menghalang mana-mana individu untuk menghadiri program berkenaan.

“Baginda tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan mengenai perkara seumpama ini disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam.

“Sultan Sharafuddin berpendirian, banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya malah baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.

“Baginda juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengenepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan memaklumkan baginda menitahkan semua perkara diputuskan dengan adil dan saksama berikutan kehidupan bermasyarakat dan kepercayaan yang pelbagai di Selangor.

Sehubungan itu katanya, Sultan Selangor menitahkan pegawai JAIS dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis itu untuk melihat sendiri apa yang berlaku di dalam program terbabit.

“Baginda sendiri pernah hadir ke majlis itu beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di negeri ini,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad sebelum ini mennasihatkan supaya tidak menyertai program Festival Bon Odori kerana ia mengandungi unsur agama lain.

Festival Bon Odori yang sudah disambut di Jepun sejak 500 tahun lalu menampilkan persembahan tarian dengan dikaitkan bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun.

Baca artikel ini > Siti Kassim sarankan tutup JAKIM gara-gara Bon Odori

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button