Luar Negara

Tiada keadilan untuk komuniti orang asli Kumanjayi

Anggota polis Australia bebas tuduhan bunuh remaja orang asli

KEMATIAN seorang remaja orang asli di Australia bukan sahaja sia-sia dan kehilangan besar kepada keluarganya tetapi tiada keadilan terhadap kematian remaja itu kerana anggota polis yang menembak mangsa, bebas daripada tuduhan membunuh.

Berpangkat konstabel, anggota polis itu tentunya berasa lega dirinya dibebaskan daripada tuduhan itu walaupun keputusan yang dibuat itu mendapat kecaman hebat keluarga mangsa dan komuniti serta penduduk setempat.

Bilangan kematian masyarakat orang asli Australia atau Aborigine dalam tahanan polis juga dilaporkan tinggi.

Namun tidak pernah sekalipun anggota polis Australia disabitkan dengan pembunuhan orang asli negara itu.

Dalam keadaan berkenaan, walaupun selepas menjalani inkuiri awam atau perbicaraan, anggota polis Australia tetapi terlepas daripada pertuduhan dan hukuman.

Untuk rekod, lebih 500 Aborigine dan Torres Strait Islander mati dalam tahanan sejak 1991 iaitu ketika rekod mula disimpan. Ini termasuk sekurang-kurangnya 11 kematian dalam tempoh tujuh bulan lalu.

Juri di Darwin mendapati anggota polis Konstabel Zachary Rolfe tidak bersalah membunuh Kumanjayi Walker, 19.

Juri berpendapat dan memutuskan begitu selepas ketiga-tiga tembakan yang dilepaskan oleh Konstabel Rolfe di sebuah pekan terpencil pada 9 November 2019 lalu  adalah tindakan wajar.

Konstabel Rolfe juga didapati tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat bunuh serta tindakan ganas yang mengakibatkan kematian.

Keluarga dan anggota komuniti orang asli mangsa meraung dan menangis di luar mahkamah di Darwin susulan keputusan sebulat suara itu diumumkan.

Perumpaan “menangis air mata darah sekalipun tidak berguna” kerana Konstabel Rolfe bebas, tidak dihukum kerana mangsa yang ditembak mati dengan bukan satu tetapi tiga das tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis itu ialah orang asli.

Sepupu mendiang Walker, Samara Fernandez-Brown berkata kepada pemberita yang membuat liputan kes perbicaraan itu berkata, mereka amat sedih dengan keputusan yang dibuat oleh juri mahkamah.

“Kesedihan yang kami tanggung dan rasai ini, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan rasa kesedihan kami.

“Kami terlalu kecewa dan walaupun kes ini telah melalui perbicaraan, saya tidak dapat menganggapnya sebagai satu keputusan yang benar-benar adil,” katanya.

Beliau menegaskan keluarga Walker tidak akan berputus asa mendapatkan keadilan bagi sepupunya yang mati pada usia 19 tahun di tangan anggota Polis Australia.

Sementara itu, Konstable Rolfe pula bercakap kepada pemberita di luar mahkamah memberitahu, dia berasa lega dengan keputusan itu.

“Sudah pasti saya menganggapnya sebagai satu keputusan yang tepat tetapi ramai yang bersedih hari ini khususnya keluarga dan komuniti Kumanjayi,” katanya.

Lebih 40 saksi tampil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang antara lain, bagi menentukan sama ada Konstable Rolfe bertindak sewajarnya menembak mangsa tiga kali ketika cuba menahannya kerana melanggar syarat jaminan.

Pendakwaan berhujah Walker telahpun tidak berupaya melawan apabila ditembak kali pertama. Mangsa ketika itu juga sedang bergelut dengan seorang lagi anggota polis lain dan mangsa bersenjatakan gunting.

Dua tembakan yang menyusul terhadap Walker disifatkan sebagai tindakan yang keterlaluan dan bertentangan dengan latihan Rolfe sebagai anggota polis.

Juri bagaimanapun memihak kepada pembelaan yang berhujah, Konstable Rolfe bimbangkan keselamatan dirinya serta rakannya memandangkan Walker menggunakan senjata tajam.

Turut dilaporkan, beberapa hari sebelum mati ditembak, remaja itu telah menyerang anggota polis lain dengan menggunakan kapak.

Kejadian itu turut dirakam kamera badan yang dipakai oleh Konstable Rolfe.

Mungkin bermotifkan dendam polis terhadap Wolfe, ajalnya di muncung pistol Konstable Rolfe. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button