Ini sebabnya 28,000 peneroka Bangsa Johor perlu sokong Perikatan Nasional
JOHOR negeri kedua terbesar mempunyai jumlah peneroka Felda, iaitu berjumlah kira-kira 28,000 orang, di belakang Pahang.
Pengumuman hutang mereka bakal dihapuskan jika Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pasti menjentik naluri para peneroka.
Bahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap melancarkan ikrar PN memberi jaminan bahawa janji-janji itu bukan janji kosong, bahkan akan ditubuhkan jawatankuasa bagi memantau pelaksanaan semua ikrar tersebut.
Dari Segamat hinggalah ke selatan di Kulai yang kesemuanya ada 72 tanah rancangan.
Situasi ini menjadikan undi orang Felda dan ahli keluarga mereka sangat signifikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sebab itu, seperti mana ‘manifesto’ Barisan Nasional (BN) semalam, PN menerusi Ikrar PN Johor juga memberi tumpuan khusus kepada kesejahteraan warga Felda.
Perbezaannya, PN dilihat berada di hadapan dalam soal Felda kerana kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya menghapus kira RM8.3 bilion hutang peneroka Felda.
Perkara ini disebut sekali lagi oleh Muhyiddin pada pelancaran Ikrar PN Johor hari ini “kita telah berjaya melakukan perkara yang gagal dilaksanakan oleh BN selama berpuluh tahun mereka memerintah”.
Menurut beliau, ini dicapai walaupun tempoh pentadbiran Kerajaan PN singkat – hanya 18 bulan sahaja – tetapi dilakukan atas dasar keprihatin terhadap masyarakat Felda di negara ini.
“BN tambah hutang Felda, PN hapus hutang peneroka Felda,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Menurusi Ikrar PN Johor, Muhyiddin berkata, PN akan terus prihatin terhadap nasib masyarakat Felda sekiranya berjaya memenangi PRN Johor 12 Mac ini.
Antaranya, kata beliau, premium tanah bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu Felda bagi tujuan pembinaan rumah oleh generasi baharu ditetapkan pada kadar RM1 sekaki persegi.
Selain itu, kata beliau, khusus bagi meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat Felda, penyediaan kemudahan dan prasarana di kawasan rancangan Felda akan terus dilakukan.
“PN akan memastikan projek perumahan generasi baharu yang sedang dibaik pulih disiapkan segera dan projek perumahan generasi baharu Felda terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih akan diselamatkan.
“Penglibatan warga FELDA dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi akan dipergiat melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan,” jelasnya.