Sesi persekolahan penggal ketiga ditangguh seminggu berikutan banjir
SESI persekolahan penggal ketiga 2021/2022 yang sepatutnya bermula pada 2 Januari depan ditanggungkan seminggu berikutan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.
Sekolah-sekolah dalam kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu), penggal ketiga akan bermula pada 9 Januari, manakala sekolah dalam kumpulan B, pada 10 Januari.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, keputusan itu diambil kira berikutan bencana banjir yang berlaku telah memberi kesan kepada murid, ibu bapa, guru-guru termasuk sekolah.
“Mengambil kira situasi banjir semasa di seluruh negara yang melibatkan murid, ibu bapa dan guru-guru sama ada secara langsung atau tidak langsung, juga melibatkan sekolah-sekolah sama ada sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ataupun sekolah yang terjejas teruk.
“Maka, KPM telah membuat keputusan bahawa sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 akan ditangguhkan selama seminggu,” katanya.
Jelasnya, KPM amat prihatin dengan kebajikan guru-guru, murid dan ibu bapa dalam konteks situasi banjir semasa.
“Kita sedar, ini merupakan satu tempoh yang amat sukar bagi semua pihak dan kita faham mereka perlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan sebelum mereka dapat mulakan sesi persekolahan bagi penggal 3 2021/2022,” katanya.
Tambahnya, KPM sentiasa komited untuk mengambil berat kebajikan murid, ibu bapa dan guru-guru dalam sebarang keputusan yang dibuat. -SM