Politik
Trending

PKR sedia bahagi kerusi untuk Bersatu demi PRN Sarawak

PENGERUSI Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian telah melakukan tindakan bijak dan setiakawan sesama Pakatan Harapan (PH) apabila bersedia membahagikan kerusi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Namun menurut beliau yang juga Menteri Kerja Raya, prinsip utama yang perlu menjadi pegangan PH dalam berhadapan PRN nanti ialah soal calon boleh menang, bukan sahaja untuk Bersatu, tetapi bagi PH dan PKR.

Katanya, semua orang tahu bahawa ada berita yang menyebut PRN-12 akan diadakan pada April, Ogos, September, malah mungkin juga pada 2021.

Tambah Baru, jika Bersatu ada mengemukakan surat untuk meminta bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pihak PKR Sarawak sedia mempertimbangkannya.

Bagaimanapun ujarnya, Bersatu buat masa ini belum memberikan sebarang petunjuk yang kuat sama ada akan bertanding di kerusi-kerusi tertentu.

“PKR Sarawak akan melihat permintaan daripada mereka, dan kita akan pertimbangkan. Yang penting sekali, sama ada mereka sudah ada orang yang dapat menang di tempat (DUN) masing-masing.

“Bagi PH, kita sudah membuat persiapan sejak tahun lepas, saya tahu bahawa parti komponen lain sudah mengenal pasti calon tertentu di kawasan tertentu,” katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo.

Ujarnya, soal peruntukan kawasan bertanding, bukan masalah besar, namun begitu masih terdapat pertindihan kerusi antara parti komponen PH di negeri ini.

“Kita akan menyelesaikannya apabila tiba masanya nanti. Bagi PKR, kami sudah menerima arahan untuk bergerak dan memperkasakan usaha terutama di peringkat akar umbi pada tahun 2020.

“Tiada cara yang lebih baik selain turun padang dan pergi ke lapangan untuk menyampaikan dasar kerajaan baharu kepada rakyat dan mengetahui permasalahan rakyat,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button