Berita

Perlis hadkan aktiviti imarah masjid tempoh PKP

TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA
MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PELAKSANAAN AKTIVITI PENGIMARAHAN SECARA TERHAD DI MASJID SELURUH NEGERI PERLIS DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) EKORAN PENINGKATAN PENULARAN SEMASA COVID-19

Dengan kurnia limpah perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa peningkatan ketara penularan semasa Covid-19 dalam Negara, serta kewujudan kluster baharu penularan wabak melibatkan sebuah syarikat perkhidmatan yang terletak di Kampung Bakau, Kangar, dengan mengambil kira potensi kebolehjangkitan dan risiko berlakunya penularan tempatan, maka Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan ini mengambil keputusan berkaitan pengurusan masjid seperti berikut:

Pelaksanaan Solat 5 Waktu dan Solat Jumaat

1. Semua aktiviti solat secara berjemaah sama ada Solat 5 Waktu, Solat Jumaat dan yang berkaitan dengannya hendaklah dilaksanakan dengan mematuhi ketetapan berikut :
a. Jumlah jemaah termasuk imam / khatib adalah tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang daripada 3 orang. Kebenaran khas juga diberikan kepada tambahan Anggota Keselamatan yang bertugas mengawal aktiviti pengimarahan.
b. Masjid tidak dibuka kepada awam, sebaliknya mereka yang dibenarkan menunaikan Solat Jumaat dan solat 5 waktu adalah daripada kalangan pegawai-pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa Masjid SAHAJA dengan disyaratkan tidak melebihi usia 59 tahun serta ditegah mereka yang mempunyai sakit kronik dan berisiko menularkan wabak (PUI / PUS). Demikian jua dilarang hadir bagi mereka yang sama ada diri sendiri atau ahli keluarga terlibat melakukan aktiviti rentas sempadan sama ada pada setiap hari, hujung minggu atau secara berkala.
c. Laungan azan akan dilaksanakan di masjid dengan gantian seruan ungkapan hay’alatain (حى على الصلاة، حى على الفلاح) kepada (صَلُّوْا فِيْ بُيُوْتِكُمْ) (Solatlah di rumah kamu). Justeru umat Islam diseru untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah di rumah dan menggantikan Solat Jumaat dengan Solat Zohor.
d. Melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 meter termasuk semasa solat serta mematuhi SOP penjejakan sosial, membawa sejadah bersaiz standard serta digalakkan membawa uncang kasut dan memakai pelindung muka (face shield) selain wajib memakai pelitup muka (face mask).
e. Jawatankuasa yang hadir DITEGAH melakukan kontak fizikal seperti berjabat tangan dan mestilah berwudhuk sebelum hadir ke masjid.
f. Diutamakan untuk dilaksanakan di kawasan yang lebih terbuka seperti di anjung masjid dan hendaklah memendekkan masa keberadaan di masjid. Tempoh masa bermula azan hingga selesai solat di masjid termasuk Solat Jumaat adalah 15 minit sahaja.

Aktiviti lain yang berkaitan

2. Bagi mempertingkatkan kawalan dan ikhtiar untuk memutuskan jangkitan, TIADA aktiviti lain seperti pengajian, kuliah, jamuan, dan seumpamanya yang dibenarkan di masjid buat masa ini. Sebagai alternatif, seluruh rakyat masih boleh meneruskan pengajian secara dalam talian, antaranya melalui Program ‘Perlis Mengaji’ yang disiarkan terus menerus di Laman Facebook MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Suara Sunnah Channel selain siaran oleh Studio ISNAD Jabatan Mufti Negeri Perlis.
3. Namun, Solat Jenazah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dengan TERHAD kepada petugas dan keluarga terdekat SAHAJA tidak melebihi 12 orang.
4. Bagi mereka yang bermusafir, solat sebolehnya dilaksanakan di penginapan. Namun begitu bagi aktiviti musafir tanpa penginapan di Perlis, ruang solat disediakan di anjung luar masjid pada 3 waktu seperti berikut:
a. Jam 5.30 petang hingga 6.30 petang: Untuk Solat Jamak Taakhir Zohor dan Asar
b. Jam 9.30 malam hingga 10.30 malam: Untuk Solat Jamak Taakhir Maghrib dan Isyak.
c. Bagi Solat Subuh, ruang berkenaan disediakan pada jam 6.30 pagi hingga 7.00 pagi.
Para musafir hendaklah mematuhi segala SOP termasuk membawa sejadah sendiri serta menunaikan solat berjemaah yang terhad bilangannya 3 orang, dan hanya melibatkan mereka yang bermusafir dalam kenderaan yang sama SAHAJA.
5. Akad nikah boleh dilaksanakan di premis persendirian dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan seperti titah perutusan MAIPs. 100 – 6 Jld 7 (105) bertarikh 12 Mei 2021.
6. Sebagai langkah kawalan dan penyelarasan, TIADA SURAU atau tempat solat umum/awam yang dibenarkan untuk dibuka melainkan dengan kebenaran khas daripada pihak MAIPs melalui JAIPs.

Pemakaian dan kuatkuasa

7. Pematuhan terhadap segala ketetapan yang terkandung hebahan perutusan ini adalah terpakai kepada semua pihak, berkuatkuasa bermula waktu Zohor, 20 Mei 2021 (Khamis) bersamaan 8 Syawal 1442H sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Harapan

Sesungguhnya pelaporan perkembangan varian-varian baharu yang membimbangkan / Variants of Concern (VOC) mutakhir ini adalah amat merisaukan. Oleh itu, besarlah harapan saya agar seluruh rakyat Negeri Perlis yang dikasihi sentiasa mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan dengan mengelakkan daripada pergi ke tempat-tempat yang sesak dan ruang yang sempit, sentiasa menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, dan kerap mencuci tangan dengan sabun atau sanitizer. Gelombang penularan kali ini difahamkan adalah lebih bahaya daripada gelombang yang sebelumnya.

Pihak Berkuasa Agama Negeri sentiasa meneliti perkembangan semasa penularan wabak dan akan memanjangkan keperluan ketetapan terkini berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa.

Di kesempatan ini, saya turut menyeru agar semua pihak sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan serta mempertingkatkan kawalan, sebagai ikhtiar dalam menghentikan penularan wabak yang sedang dihadapi ini. Semoga segala doa, ikhtiar dan tawakkal kita diperkenankan oleh Allah azza wajalla hendaknya.

MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH

 

SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis

Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis

Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis

Bertarikh : 20 Mei 2021 bersamaan 8 Syawal 1442H

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button