Nasional

Pelancong Alor Setar – Genting Highlands patuh SOP – MOTAC

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan, syarikat pelancongan yang membawa pelancong dari Alor Setar, Kedah ke Genting Highlands, Pahang didapati mematuhi semua garis panduan Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik yang ditetapkan.

Menurut kenyataan kementerian tersebut, sebanyak dua bas terlibat dalam rombongan pada 22 April lalu dan pulang pada 24 April lepas.

Trip selama dua hari itu dianjurkan sebuah syarikat pelancongan berdaftar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menurut kementerian lagi, siasatan awal mendapati, syarikat penganjur telah mematuhi semua syarat yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik bagi urusan perjalanan berkenaan.

“Bagaimanapun selepas kembali dari Genting Highlands, ada penumpang yang mengalami gejala demam dan telah membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan,” ujar kementerian dalam kenyataannya hari ini.

Pada 7 Mei lalu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan 16 individu disahkan positif Covid-19 daripada saringan yang dilakukan ke atas 28 orang daripada kumpulan pelancong itu dan proses pengesanan kontak rapat masih diteruskan oleh pihak Jabatan Kesihatan Alor Setar, katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, sumber asal kontak Covid-19 yang berkaitan dengan kes itu masih belum dapat dikenal pasti dan pihak KKM sedang giat menjalankan siasatan.

Menurut Kementerian lagi, KKM serta pihak polis juga telah menghubungi syarikat pelancongan yang menganjurkan perjalanan terbabit untuk siasatan lanjut.

“Pihak syarikat memberi kerjasama dengan menyerahkan semua dokumen perjalanan, permit, Lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan atau Perniagaan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) daripada MOTAC serta lain-lain dokumen yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri memberi peringatan kepada agensi dan pengendali serta kenderaan pelancongan agar sentiasa mematuhi SOP aktiviti pelancongan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan pelancong.

Beliau berkata, ia bagi memastikan aktiviti pelancongan yang dilaksanakan mendapat perlindungan yang maksimum agar keselamatan pelancong serta pengusaha industri pelancongan itu sendiri dapat dipelihara.

Kementerian berharap, insiden tersebut tidak akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keselamatan dalam sebarang aktiviti pelancongan yang dapat beroperasi semula setelah kebenaran diberi oleh kerajaan berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19 dalam negara.

Untuk rekod, pada 7 Mei lalu, KKM telah mengesan kluster baharu yang melibatkan komuniti di Kota Setar, Kedah dengan 16 kes positif Covid-19. – BERNAMA -SM

(Visited 246 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button