Nasional

PN Johor mahu polis segera heret dalang perhimpunan ‘kerajaan gagal’ ke pengadilan

KETUA Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Dr. Sahruddin Jamal berharap, jika benar wujud dalang yang merancang himpunan ‘kerajaan gagal’ di Batu Pahat baru-baru ini, polis dapat segera membawa mereka ke muka pengadilan.

Beliau berkata, PN Johor akan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan tindakan lanjut dan berharap siasatan terperinci dapat dilakukan bagi mengenal pasti individu yang menjadi dalang himpunan berkenaan.

“Tindakan polis menahan 20 individu terbabit sebelum ini bertujuan mengambil keterangan dan membantu siasatan. Berilah ruang sepenuhnya kepada pihak polis menyiasat,” kata bekas menteri besar itu dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana insiden itu tidak sepatutnya berlaku ketika umat Islam menyambut Aidilfitri. Ditambah pula negara baharu sahaja menyambut Hari Belia Negara 2021.

Tambah beliau lagi, kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan dan sumbangan belia dalam segala aspek termasuk ekonomi, pendidikan, sosial dan politik.

Justeru Kerajaan sama sekali tidak pernah menghalang atau menyekat kebebasan bersuara rakyat termasuk anak muda tetapi tidak perlu menimbulkan provokasi melampau dan mengganggu ketenteraman awam, katanya.

“Manfaatkan kebijaksanaan yang dimiliki untuk sama-sama membantu kerajaan dalam merencanakan pelbagai perancangan dan tindakan yang dapat menyelesaikan isu melibatkan masyarakat di lapangan,” kata beliau.

Sahruddin berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa komited bagi memastikan setiap agenda dan dasar memberi penumpuan terhadap pemulihan ekonomi negara dan kemaslahatan rakyat.

Khamis lalu, klip video dan gambar himpunan membabitkan pembakaran suar dan kain rentang ‘kerajaan gagal’ di Parit Raja, Batu Pahat, tular di media sosial.

Setakat ini, 20 penduduk tempatan berusia 16 hingga 28 tahun ditahan polis.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 144, 269 dan 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button