Raja Perlis ajak umat Islam sertai “Perlis Berzikir”
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini mengajak umat Islam di negeri itu bersama-sama menyertai kempen “Perlis Berzikir” yang dianjurkan oleh Pejabat Mufti Perlis.
Titah baginda, mereka yang sering mengingati Allah SWT dalam jiwa dan sebutan lidah, pasti beroleh pelbagai kurniaan daripada-Nya.
“Kalau majoriti rakyat negeri ini sentiasa mengingati Allah, pastilah negeri ini akan diberkati dan mendapat pelbagai kurniaan daripada-Nya,” titah baginda yang berkenan melancarkan kempen Perlis Berzikir di sini hari ini.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap kempen itu dapat mengisi keperluan kerohanian dalam pembangunan negeri tersebut.
Titah baginda, Jabatan Mufti Perlis telah menjalankan pelbagai usaha untuk memupuk budaya berzikir dalam kalangan umat Islam di Perlis.
“Antaranya ialah papan iklan yang mengandungi zikir dipasang di sekitar negeri Perlis, menerbitkan pelbagai buku zikir, kuliah-kuliah dan penerangan tentang amalan zikir akan diberikan oleh penceramah-penceramah seluruh negeri dengan bimbingan dan panduan daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin turut mahu kempen Perlis Berzikir itu disokong dan didukung oleh semua agensi kerajaan dan institusi pendidikan di seluruh negeri selain usaha menggalakkan amalan zikir digerakkan ke segenap kawasan agar rakyat mengetahui zikir-zikir yang menjadi amalan Rasulullah SAW.
— BERNAMA