Politik

Muhyiddin dicabar bersemuka dengan media, rakyat

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dicabar untuk bersemuka dengan wartawan dan menjawab segala persoalan rakyat mengenai ketidaktentuan negara dalam pandemik Koroanvirus (Covid-19).

Ini kerana, beliau sebelum ini hanya muncul sekali sahaja di hadapan wartawan, itupun diadakan atas jemputan kepada media tertentu dan dilakukan secara video konferensi.

Sebaliknya, beliau lebih kerap mengadakan perutusan khas sejak menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020.

Pada peringkat awal, rakyat boleh terima kerana berlaku pertukaran kerajaan dan mahu melihat pelaksanaan dasar dan pendekatan.

Namun, apabila terlalu kerap menggunakan kaedah komunikasi sehala itu, rakyat akhirnya bosan apabila rintihan mereka mutakhir ini tidak didengari.

Malah, perutusan-perutusan sebelum ini pun tidak memberangsangkan rakyat untuk terus tabah dalam mengharungi saat sukar ketika tekanan ekonomi dan krisis kesihatan.

“Tidak berani bersemuka di Parlimen, maka Parlimen digantung. Tiada soalan lisan. Tiada pencelahan. Tiada perbahasan. Selamat.

“Tidak berani bersemuka dengan pemberita maka tidak ada sidang media. Tiada soalan cupu emas dan panas. Selamat juga.

“Semuanya diganti dengan perutusan khas. Sejak jadi PM sudah 38 kali Perutusan Khas. Januari ini sahaja sudah dua kali. Sudah jadi ‘one way communication‘. Tiada ketelusan.”

Kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi dalam satu kenyataan malam tadi mengulas perutusan khas Muhyiddin petang semalam.

Sementara itu di Facebook Ahli Parlimen Pagoh itu ketika perutusan khas semalam, komen-komen netizen rata-ratanya berasa bosan dengan kenyataan beliau.

Malah, ada yang menyatakan seperti membuang masa ketika mendengar perutusan khas beliau mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Darurat.

“Perutusan khas ini buang masa sahaja… cakap panjang lebar tiada cara penyelesaian yang effective,” komen Nicky Teoh Han Shen.

“Udah teman kabor tak payah komer buang masa tunggu perutusan abah komer!! Benda semua kita dah tau berkenaan SOP dan kompaun lebih tinggi akan dikenakan kepada rakyat. Semua salah rakyat!” tempelak Aby Shafie.

“20 minit berlalu, nothing” sindir Nurul Suhaida Sahabudin.

Dalam pada itu, Mohd. Puad menambah, sekiranya Muhyiddin berhadapan dengan media dan rakyat, beliau pasti tidak akan mampu menjawab setiap soalan yang dikemukakan.

“Tetapi PM (Perdana Menteri) lupa, beliau terpaksa bersemuka dengan rakyat di ‘media sosial’ setiap saat, setiap minit, setiap jam dan setiap hari. Beliau tidak akan mampu jawab.

“Semoga dia baca komen komen rakyat terhadapnya. Lambat laun beliau akan bersemuka dengan rakyat di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button