Nasional

Pinjaman RM10 juta: Pening fikir jawapan CEO Armada Holdings

KUALA LUMPUR – Semalam merupakan hari ke-12 kes perbicaraan membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau didakwa atas 47 pertuduhan, daripadanya, 12 pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Mahkamah yang bersidang di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah menampilkan lima orang saksi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn. Bhd., Datuk Wasi Khan.

Kelmarin, Wasi Khan @Wasiyu Zama Israr Ahmad tampil sebagai saksi ke-21 perbicaraan berhubung pinjaman RM10 juta yang diterimanya daripada Yayasan Akalbudi.

Menyambung keterangannya semalam, Wasi Khan bukan sahaja memberi keterangan yang tidak konsisten tetapi memeningkan dengan jawapan berubah-ubah.

Ini disebabkan beliau tidak pasti sama ada RM10 juta yang diterimanya sebenarnya pinjaman atau pelaburan yayasan kerana itulah perkara utama yang dibangkitkan dalam soalan peguam bela dan pendakwa raya.

Semalam, Wasi Khan di soal balas oleh peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad dan hari ini, pemeriksaan balas disambung oleh Rosal Azimin dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Ketika menjawab soalan peguam, Wasi Khan menggunakan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K untuk berjumpa dengan Ahmad Zahid yang pada ketika itu, tahun 2015, sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tujuan mahu berjumpa dengan Ahmad Zahid adalah bagi meminta pertolongan untuk mengurangkan syarat minima untuk mendaftar Armada Holdings Sdn. Bhd., sebagai syarikat pembekal arang batu Indonesia bagi kontrak TNB Fuel Services Sdn. Bhd (TNB Fuel).

Kata Wasi Khan, Datuk K tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam Armada Holdings tetapi sejak tahun 2018, Datuk K telah meletakkan anaknya, Muhamad Aazef Khalid sebagai proksi.

Wasi Khan mengakui Armada Holdings tidak mempunyai modal berbayar RM10 juta sepertimana yang diletakkan sebagai syarat  mendaftar TNB Fuel.

Wasi Khan berhasrat untuk meminta pertolongan daripada Ahmad Zahid mengurangkan modal berbayar kepada RM5 juta.

Hasrat berjumpa dengan Ahmad Zahid tercetus setelah Wasi Khan gagal untuk meminjam wang daripada rakan-rakan termasuk Datuk K.

Apabila disoal peguam, adakah modal berbayar RM10 juta yang diterimanya pada pertemuan kedua dengan Ahmad Zahid, sebagai satu bentuk pinjaman atau pelaburan Yayasan Akalbudi, di sinilah jawapan yang diberikan tidak konsisten: ya, tidak, kemungkinan ya sebagai pelaburan.

Jawapan permulaan RM10 juta dikatakan sebagai pinjaman. Kemudian Wasi Khan menukar jawapannya kepada pelaburan dan akhirnya tidak tahu untuk memberi jawapan sama ada pinjaman modal atau pelaburan.

Ahmad Zahid pula bersetuju untuk memberi pinjaman RM10 juta melalui Yayasan Akalbudi kerana jika Armada Holdings memulangkan semula RM10 juta, itu adalah satu bentuk pelaburan bagi yayasan tersebut.

Apabila peguam mencadangakan kepada Wasi Khan, pemberian RM10 juta itu melalui Yayasan Akalbudi adalah atas dasar Ahmad Zahid percaya kepada Datuk K yang mana cek diserahkan kepada Wasi Khan di Parlimen oleh seorang wanita yang memperkenalkan dirinya kepada Wasi Khan sebagai pegawai bank.

Persetujuan itu juga dibuat oleh Ahmad Zahid atas dasar mahu membantu Armada Holdings, sebuah syarikat bumiputera untuk menjadi pembekal arang batu dan memasuki tender.

Wasi Khan memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengetahui secara peribadi tentang Yayasan Akalbudi yang membantu orang miskin, asnaf, anak-anak yatim, menekankan kenyataan, atas inisiatifnya, membayar balik RM10 juta dengan kadar faedah 4 peratus (RM69,722.65) yang dikira dari tarikh 16 November 2015 sehingga 12 Februari 2016.

Perbicaraan kes Ahmad Zahid akan bersambung Februari 2020. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.
Back to top button