fbpx
BeritaNasional

Pelajar UMT selamatkan ikan lumba-lumba

SEKUMPULAN tujuh pelajar jurusan Biologi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menyelamatkan seekor ikan lumba-lumba yang terdampar di Pantai Tanjung Gelam dekat Kuala Nerus, Terengganu, semalam.

Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains (Biologi Marin), Mohd. Nur Aiman Suhaimi, 23, berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada orang kampung yang memaklumkan penemuan itu pada 1.30 petang semalam.

“Pada mulanya seakan tidak percaya kerana sepanjang pengetahuan saya, memang tidak pernah ada ikan lumba-lumba yang terdampar di pesisir pantai Terengganu sebelum ini.

“Kalau kes penyu terdampar itu memang pernah berlaku beberapa kali sebelum ini, tapi untuk ikan lumba-lumba itu memang luar biasa. Namun, kami tetap keluar ke lokasi untuk kepastian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, mereka mengambil masa kurang lima minit untuk mengangkat ikan lumba-lumba itu ke kawasan air yang lebih dalam namun haiwan itu terlalu lemah dan tidak berdaya menahan hempasan ombak yang terlalu kuat.


“Saya difahamkan ikan itu terdampar di kawasan berpasir namun sempat dialihkan dua individu ke kawasan air cetek sebelum kami tiba.

“Lebih mencemaskan kerana ikan lumba-lumba itu sudah mula mendengus dan terdapat sedikit kesan luka di bahagian kepalanya. Mujur penduduk kampung bertindak pantas menghubungi kami dan akhirnya ia berjaya berenang kembali ke lautan,” katanya yang begitu teruja dapat menemui haiwan itu buat pertama kali dalam hidupnya.

Kumpulan pelajar tersebut menunggu hampir 30 minit untuk memastikan ikan lumba-lumba itu benar-benar selamat dan tidak lagi terdampar di pesisir pantai untuk kali kedua.

Selain Mohd. Nur Aiman, enam lagi pelajar itu ialah Akalili Zanudin, 21; Wan Amirul Syafiq Wan Nazari, 22; Syakirah Sukery, 21; Farah Syahirah Ishak, 21; Syafiqah Nabilah Mutalib, 21, dan Nur Aini Othman, 21.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button