Ekonomi

HSA Cheaper Mart bakal beroperasi 5 Januari 2020

PUTRAJAYA – HSA Trading Capital Bhd., pengeluar dan pemborong produk muslim serta pengeluar produk makanan berjenama Sherwanis bakal membuka pasar raya mini sulungnya di Ukay Perdana, Ampang awal Januari 2020.

Pengasas syarikat, Datuk Muhamad Riduwan Safrizal berkata, tarikh keramat 5 Januari 2020 menjadi pilihannya sebagai hari pembukaan pasar raya mini yang bakal dikenali sebagai HSA Cheaper Mart.

“Kami kini berada pada peringkat akhir untuk memuatkan premis ini dengan pelbagai barangan keluaran muslim dan menaikkan papan tanda perniagaan.

“Syarikat sudah bersedia dan teruja untuk menawarkan produk dan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya pada sesi taklimat bersama media di Kelab Tasik Putrajaya di sini, baru-baru ini.

Menurut Muhamad Riduwan, premis yang melibatkan kira-kira RM80,000 itu akan menjadi satu platform terbaik buat syarikat perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat bumiputera bersaiz kecil yang lain mempromosi dan menawarkan produk buatan sendiri kepada umum.

“Konsepnya sama seperti pasar raya mini yang berjenama popular di seluruh negara tetapi kami memiliki keunikan  dan kekuatan tersendiri yang mana mungkin harga yang ditawarkan lebih rendah sedikit serta menempatkan pelbagai produk buatan usahawan Muslim di bawah satu bumbung.

“Meskipun harga lebih rendah 10 sen atau 20 sen daripada pasar raya lain tetapi, ia cukup bermakna buat pelanggan dalam keadaan ekonomi yang sukar kini,” jelasnya.

Muhamad Riduwan menjelaskan, HSA Cheaper Mart akan mula menyusun strategi untuk diperluaskan pasarannya secara berperingkat-peringkat sehingga bakal mencapai ke angka 200 outlet di seluruh negara.

Bagi tujuan tersebut, pihak syarikat akan mengadakan promosi bergerak dan taklimat perniagaan di Johor, Melaka dan Selangor dalam masa terdekat ini untuk memberi penerangan mengenai perancangan masa depan jenama pasar raya mini tersebut.

Mengulas lanjut, sebuah outlet pasar raya mini tersebut akan menawarkan kira-kira 10,000 pelbagai jenis barangan dan 60 peratus daripadanya terdiri daripada produk muslim manakala bakinya daripada produk runcit lain.

“Kami juga akan menawarkan pelbagai produk Sherwanis yang terkenal dengan rempah kari, kicap, jus minuman di HSA Cheaper Mart.

“Terdapat lebih daripada 100 jenis produk dibawah jenama Sherwanis yang telah berada di pasaran sejak tahun 2007, ia telah dipasarkan di lebih 7,000 outlet perniagaan pelbagai saiz di seluruh negara khususnya di bahagian Tengah serta Selatan seperti Melaka,” jelasnya.

Muhamad Riduwan memiliki perancangan terbaik buat para usahawan yang mahu mengembangkan perniagaan masing-masing di bawah payung HSA Speed Mart.

“Saya percaya kepada konsep berkongsi rezeki dengan membantu usahawan bumiputera untuk terus berjaya selain membimbing mereka meningkatkan daya saing selain mencari peluang untuk mendapatkan dana pembiayaan pengembangan perniagaan,” ujarnya. – SM

(Visited 358 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.
Back to top button