Rencah Hidup

Sajat akhirnya mengaku dia ditahan JAIS

Usahawan kosmetik yang dikenali dengan nama Nur Sajat akhirnya mengakui yang dia telah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di bawah Seksyen 10 Enakmen Janayah Syariah Selangor.

Dia ditahan reman di pusat tahanan sementara di Kuala Kubu Bahru.

Mengikut undang-undang, seksyen tersebut adalah kerana menghina atau menyebabkan dipandang hina, dan lain-lain agama Islam.

Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain:-

(a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina;

(b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau

(c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Video dia dipanggil untuk sesi soal siasat dan penahanannya di pejabat JAIS juga turut dirakam dan disiarkan di akaun Instagram miliknya.

Menerusi video yang dirakam secara sembunyi itu, Sajat ditahan berhubung dengan laporan pada 23 Februari 2018 berkaitan majlis doa selamat bersama pelajar tahfiz di Seksyen 16, Shah Alam Selangor.

Sajat menerusi video tersebut ada mempersoalkan kenapa dia ditahan kerana menganjurkan majlis doa selamat.

Namun, seorang lelaki dipercayai pegawai JAIS yang dirakam dalam video tersebut memberitahu Sajat tidak ditahan kerana majlis tersebut.

Sebaliknya, terdapat elemen pemakaian di dalam majlis itu yang disyaki salah dan membawa kepada penahanannya.

Menerusi video berdurasi lebih 30 minit yang dimuat naik Sajat, dia turut menyelitkan gambar ketika majlis doa selamat itu diadakan.

Di dalam gambar itu, secara jelas, Sajat mengenakan pakaian baju kurung dan bertudung.

Sajat ketika hadir di pejabat JAIS juga didapati memakai baju kurung tanpa tudung dengan ditemani ibu, bapa serta peguamnya.

Dia turut meraung dan menangis serta menunjukkan tangannya yang luka selepas didakwa digari secara paksa oleh pegawai JAIS.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang setuju dengan tindakan JAIS terhadap Sajat apatah lagi isu jantinanya sering menjadi persoalan sebelum ini.

Namun, terdapat juga beberapa individu yang cuba mempertahankan Sajat dan menganggap tindakan yang diambil itu keterlaluan antaranya ialah peguam, Siti Kasim.

Untuk rekod, Sajat sebelum ini menafikan dirinya ditahan oleh Jais di bawah seksyen tersebut.

Malah, sebelum memuat naik video tersebut, Sajat telah menutup seketika akaun media sosialnya selepas terlalu ramai yang bertanya berkenaan perkara itu. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button