Nasional

Nenek saudara sepak budak tiga tahun hingga pecah usus

SEORANG kanak-kanak perempuan maut selepas menjadi mangsa dera nenek saudaranya sejak tiga tahun lalu.

Mangsa yang maut pada 30 Disember lalu juga lumpuh dan mempunyai penyakit lebih cecair dalam otak dipercayai didera wanita warga Indonesia berusia 55 tahun.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu saudaranya di rumah mereka di Kampung Sungai Chinchin pada pukul 7 malam hari kejadian sebelum disahkan meninggal dunia.

“Sebelum ini polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sebelum membuka siasatan sebagai kes bunuh kerana terdapat unsur jenayah pada mangsa.

“Keluarga mangsa pada mulanya mendakwa mangsa mengalami sakit perut dan muntah sebelum ditemui tidak sedarkan diri di ruang tamu selain menolak proses bedah siasat dijalankan,” katanya.

Menurut Arifai, hasil bedah siasat yang dijalankan keesokan harinya membongkar tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak itu apabila disahkan mangsa maut akibat kecederaan pada ususnya yang pecah dipercayai didera.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut juga menemui kesan parut lama pada tubuh mangsa dipercayai dicucuh dengan ubat nyamuk yang dibakar.

“Siasatan juga tidak menolak kemungkinan mangsa didera kerana sering buang air besar tanpa sedar disebabkan penyakitnya yang mengakibatkan mangsa tidak boleh berjalan dan berdiri dengan sempurna,” katanya.

Ujarnya, setakat ini enam individu masing-masing tiga lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 55 tahun termasuk suspek utama yang juga nenek saudara mangsa ditahan untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan 1 Januari lalu kini direman selama enam hari sehingga 7 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button