Hanya tol, minyak, perut…
Analisis
YA, memang tidak dinafikan tanggapan perwakilan Parti Amanah Sarawak, Andri Zulkarnaen semalam terhadap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang disifatkannya begitu lemah.
Kelibat Gobind tidak begitu `garang’ dalam mempromosikan kejayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam setahun tujuh bulan selepas Barisan Nasional (BN) ditumbangkan 9 Mei 2018.
Telahan itu barangkali tidak dapat disangkal oleh sesiapa. Kerana itu Andri ketika membahaskan Pidato Presiden di Konvensyen Nasional 2019 Amanah mendesak Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya menggugurkan Gobind dari Kabinet.
Namun Andri dan kepimpinan Amanah yang diketuai presidennya Mohamad Sabu harus ingat, kalau `bendanya’ atau hasil dari pelaksanaan manifesto PH yang dijanjikan kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) itu tidak nampak bayangnya, macam mana pula Gobind hendak promosikan?
Walaupun kata Mohamad, manifesto PH itu telah dilaksanakan tetapi tidak dipromosikan, Suara Merdeka senada dengan rakyat di bawah sana bahawa “teras-teras utama Manifesto PH itu tidak kelihatan”.
Mudah sahaja. Ambil tiga perkara ini – Tol, Minyak dan Perut.
Kalau tiga benda ini terlaksana atau sekurang-kurangnya 70 peratus manifesto itu direalisasikan, nescaya PH akan menikmati kelangsungan kuasanya melepasi PRU-15 nanti.
SUSAHKAH TURUN HARGA MINYAK?
Dr. Mahathir harus ingat. Beliau sudah kali kedua dalam usia 94 ini menjadi Perdana Menteri. Melayangkan idealisme sahaja tidak mampu untuk mengekalkan survival kuasa. Yang penting hari ini ialah politik perut (ekonomi dapur).
Susahkah mahu turunkan harga minyak? Ikut atas kertas, boleh sahaja kerajaan PH panggil sekurang-kurangnya tujuh syarikat milik kerajaan (GLCs) yang berstatus mega untuk menyumbangkan keuntungan mereka. Ini kelak sekali gus membawa kepada penurunan harga minyak sehingga RM1.20 seliter. Bukan begitu mudah untuk `tebus’ tol kah?
TUN M `DEGIL’?
Namun, bagi sesiapa yang mengenali Dr. Mahathir pasti maklum akan `kedegilan’nya. Tetapi persoalannya, rakyat sudah meradang. Orang kampung hari ini tidak percayakan PH lagi. Dr. Mahathir pun tidak nampak kelibatnya sekali sebulan turun menjenguk orang kampung di Felda. Ada tak?
Barangkali dalam usianya hari ini sukar untuk itu tetapi menterinya dari portfolio pembangunan luar bandar buat apa?
Apa! ada Datuk Seri Rina Mohd Harun turun padang? Tapi sayangnya tidak dilaporkan secara meluas dalam media massa dan RTM? Oh! salah Gobind lagi kah kerana tiada promosi ini?
DESAKAN POLITIK PERUT
Rakyat, tidak kiralah menetap di bandar, luar bandar dan kampung-kampung dengan sebahagian besarnya sudah dilanda impak urbanisasi, amat ketagihkan `politik perut’ (makan). Telinga lintah mereka sudah tidak tahan lagi dah dengan gelagat Dr. Mahathir yang sudah masuk tujuh atau lapan kali menyerang `Melayu malas, Melayu malas’.
Mungkin orang-orang Tun boleh cuba singkap sedikit manifesto untuk golongan wanita. Insurans dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk surirumah, setakat mana ia berjalan? Dr. Mahathir tidak boleh kata manifesto PH tidak boleh dilaksana dengan alasan `bayar hutang dari penyelewengan 1MDB’ atau alasan-alasan `hutang negara bertimbun’. Bukankah beliau sendiri yang melancarkan manifesto berkenaan?
ISU 1MDB BUKAN MODAL LAGI
Dulu sebelum hendak menang, bolehlah PH `berlindung’ di bawah gelombang rakyat tertindas dek `1MDB’ atau `Najib ambil duit’. DAP pun boleh menang menang besar dengan mengambil isu berkenaan sebagai modal politiknya, namun hari ini rakyat sudah semakin cerdik membuat penilaian. Kerajaan tidak perlu tunggu enam dekad (60 tahun) untuk tumbang. Esok, lusa pun boleh karam kalau bacaannya hari ini.
PH juga hari ini kelihatan ketandusan orang muda untk meneruskan perjuangan golongan tersebut. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terlalu mentah untuk memikul nakhoda perjuangan orang muda. Kena bagi `masak’ sedikit lagi. PH pun kalau hendak balik ke kemelayuan yang dulu mungkin tidak dapat lagi. Enam puluh peratus pun jadilah. Bahananya jika kira-kira 5.4 juta pengundi baharu berumur 18 tahun nanti buat keputusan. Boleh hancur lebur PH kelak.
Tol, minyak dan perut (ekonomi) adalah formula untuk PH meneruskan kelangsungan kuasa. Jangan tunggu setahun dua sebelum PRU-15, baru hendak mengumumkan itu, ini.
– SUARA MERDEKA