Anggota risikan memang dibekalkan dengan senjata ringan sahaja
ANGGOTA polis yang sedang menjalankan tugasan mengumpulkan risikan memang dibekalkan dengan senjata ringan sahaja.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, dua anggota polis yang terlibat dalam insiden berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand pagi tadi berlaku tanpa diduga.
“Kita memang ada pertimbangan taktikal untuk setiap tugasan dan apa yang berlaku pagi tadi adalah secara spontan dan kawasan itu juga sebenarnya gelap.
“Maklumat berkenaan siapa yang memulakan tembakan juga sedang disiasat,” katanya dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi tadi, seorang anggota PGA BN3 maut manakala seorang lagi cedera selepas berbalas tembakan dengan 13 penyeludup dari Thailand.
Abdul Hamid berkata, anggota yang maut ialah mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang cedera di bahagian rusuk kanan manakala seorang lagi anggota yang juga ditembak sedang dirawat di hospital.
Dalam kejadian tersebut, pistol yang digunakan mendiang juga telah disahkan kehabisan peluru ketika ditemukan dalam keadaan terbaring oleh anggota yang datang membantu.
Menurut Abdul Hamid, modus operandi anggota yang menjalankan risikan ialah untuk membuat tinjauan sahaja.
Jelasnya, anggota memang tidak dibenarkan untuk bertindak balas sekiranya berjaya mengesan sebarang pergerakan manusia.
“Kebiasaannya bila ada nampak pergerakan manusia, anggota perlu menyampaikan maklumat dengan segera menerusi alat komunikasi atau kembali ke pos kawalan untuk memberi laporan.
“Tetapi mungkin kedua-dua pihak terkejut kerana terserempak dalam keadaan yang gelap dan berlaku perkara ini secara spontan,” katanya.
Ujarnya, siasatan awal terhadap seorang daripada suspek yang terlibat turut memberitahu yang mereka terserempak dengan polis ketika sedang mengangkat guni berisi ketum dan ubat batuk ke tembok sempadan negara.
Sementara itu, Abdul Hamid turut memberitahu yang kebajikan kedua-dua anggota polis yang maut dan sedang dirawat akan ditanggung penuh oleh pihaknya. -SM