Rencah Hidup

Tekanan, punca lupa kesan terlalu lama ‘terperap’ di rumah

MACAM-MACAM ragam dialami rakyat Malaysia terutamanya yang perlu bekerja di rumah atau ‘work from home’ (WFH), seperti lupa dan sebagainya.

Ada antaranya apabila perlu kembali ke tempat kerja, sudah tidak ingat simpang jalan, lupa undang-undang jalan raya termasulah skill  memandu yang berkurangan.

Masalah sedemikian dilihat menggelikan hati, namun ia sebenarnya beban yang serius dan perlu diatasi dengan cepat dan baik.

Hal demikian tidak mustahil apabila rakyat tinggal dalam kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Diperketatkan (PKPD).

Malah, rakyat Malaysia secara umumnya tidak tahu situasi yang dihadapi mereka sekarang, bila ancaman Koronavirus (Covid-19) dan PKPB akan berakhir.

Tekanan adalah punca kepada masalah lupa apabila otak manusia perlu memproses dan adaptasi pelbagai perkara untuk menerima perubahan seperti WFH.

Perubahan tersebut termasuklah cara kerja dan suasana ruang kerja yang berbeza di rumah berbanding tempat kerja.

“Itu sebenarnya tanda-tanda kita mengalami tekanan yang mana kita rasa fikiran kita ini dirasakan terlampau berserabut sampai rasa susah untuk ingat perkara lain.

“Sebab apa, pertama, perubahan rutin. Biasa kita kerja dekat tempat kerja.

“Kedua pula, pengasingan sosial. Maksudnya bila pergi ke tempat kerja, kita berjumpa dengan orang dan colleague.

“Ketiga, perubahan dari segi situasi tempat kerja itu sendiri. Ramai juga orang kita rasa dia mengalami masalah untuk adaptasi kerja di rumah.

“Tak semua kerja kita boleh lakukan di rumah sebab terhad. Bila kita kerja di rumah, banyak had yang membatasi. Semua kerja kita perlu buat sendiri, kalau di tempat kerja kalau ada benda yang kita tidak tahu boleh rujuk kepada kawan-kawan atau penyelia.

FIRDAUS ABDUL GANI

“Keempat, cabaran untuk susun jadual kerja itu sendiri. Kalau dekat tempat kerja, kita sudah tahulah rutin waktu dan jadual.

“Bila dekat rumah, kita punya rutin itu memang berbeza, maksudnya bangun pun pukul berapa, tak perlu bergegas ke tempat kerja.

“Jadi, apabila hendak kembali bekerja di tempat kerja, mereka perlu sesuaikan diri semula.

“Oleh demikian, perubahan dalam hidup kita ini, susah untuk berubah secara drastik.”

Demikian penjelasan Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Firdaus Abdul Gani ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Tambah beliau, lupa yang dialami bukanlah sebab hilang ingatan, sebaliknya hilang tumpuan ataupun dipanggil sebagai pre-occupied.

Keseimbangan dan empati

Dalam pada itu, Pakar Psikiatri dan Psikoterapi, Dr. Hazli Zakaria menjelaskan manusia memerlukan keseimbangan dalam menghadapi rutin harian.

Bermakna, terlalu lama berada di tempat yang sama juga tidak sesuai dan mendatangkan tekanan kepada minda.

“Apabila terlalu lama berada di rumah pelbagai gangguan diterima di rumah dan seseorang itu boleh hilang tumpuan untuk melakukan sesuatu perkerjaan.

“Gangguan tersebut termasuklah seperti hal rumah yang perlu diselesaikan termasuklah masak, bersihkan rumah, uruskan anak dan sebagainya.

HAZLI ZAKARIA

“Gangguan yang lebih berat mungkin dialami oleh ibu bapa yang mempunyai lebih dua orang anak bersekolah. Mereka juga perlu diuruskan makanan, kelas online dan sebagainya.

“Oleh demikian perlu ada keseimbangan di situ apabila pekerja mungkin boleh ke pejabat pada waktu-waktu tertentu namun tidak sekerap dahulu.

“Rutin sedemikian juga boleh mengurangkan tekanan dan meningkatkan fokus serta produktiviti kerja.

“Selain itu, majikan juga perlu memahami tekanan dan cabaran yang dialami pekerja apabila WFH seperti dinyatakan tadi dan tidak terlalu menekan.

“Ini kadang-kadang, kerja dekat rumah pun pekerja berasakan terlalu diperhati sehingga mereka hilang fokus, terganggu dengan urusan rumah, akhirnya anak-anak menjadi mangsa untuk lepaskan kemarahan.

“Kena ada keseimbangan kepada pekerja bekerja dan menjalani rutin harian serta rasa empati daripada majikan kepada pekerja mereka supaya dapat mengurangkan tekanan,” kata Hazli yang juga pengasas Alaminda itu. – SM

(Visited 979 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button