Cukai, peraturan hotel, Airbnb diseragamkan
PERATURAN dan cukai hotel serta perkhimatan Airbnb (penginapan dan sarapan) akan diseragamkan sebagai komponen yang sama.
Penyeragaman itu disifatkan sebagai berlaku adil kepada semua sektor sama dalam industri perhotelan sebagai langkah baharu memangkin semula perniagaan tersebut.
Ia juga sebagai langkah bagi kerajaan memberi nafas baharu kepada industri perhotelan susulan serangan pandemik Koronavirus (Covid-19).
Bagaimanapun tidak dijelaskan sama ada sektor tersebut akan memberi impak kepada pengguna dari segi peningkatan harga dan sebagainya.
“Beberapa perbincangan telah dan sedang diadakan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta kerajaan negeri.
“Kita ada satu jawatankuasa di bawah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali yang ditugaskan untuk menyelesaikan karenah sebegini.
“Sudah pasti dalam perniagaan, kita ada konsep ‘level playing field’ maknanya berlaku adil pada semua.
“Jadi kalau satu komponen itu dikenakan dengan pelbagai peraturan, satu sektor lagi tidak tertakluk kepada sebarang peraturan, sudah pasti ini tidak adil.”
Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, malam tadi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Makan Malam dan Sesi Perbincangan serta Libat Urus ‘Industri Pelancongan: Sebelum dan Selepas COVID-19’ di Bandar Hilir, Melaka.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sedang mempertimbang 12 permohonan peruntukan yang dikemukakan setiap negeri di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Katanya, Kerajaan Negeri Melaka memohon peruntukan RM100 juta bagi projek pembangunan kereta kabel.
Peruntukan itu juga dilapor untuk digunakan bagi menampung kos penyelengaraan destinasi pelancongan bernilai RM25 juta.
“Jadi saya perlu berbincang dengan Menteri Kewangan.
“Akhir sekali dengan Perdana Menteri sebelum membuat keputusan tentang permohonan yang dikemukakan,” ujarnya. – SM